PETALING JAYA: Tiada kata dapat diungkap seorang anggota polis apabila terpaksa menerima hakikat, tiga ahli keluarganya meninggal dunia berturut-turut selepas dijangkiti virus Covid-19.
Siti Nurul Hawana Amran daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sentul, Kuala Lumpur, hanya mampu mengalirkan air mata apabila menerima berita pemergian ibu dan bapanya hanya selang enam jam di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, Jumaat lalu.
Ibunya, Hasminah Parmin, 57, disahkan meninggal dunia pada 4 pagi, disusuli bapanya, Amran Sadon, 56, enam jam kemudian.
Kesedihan Hawana bagaimanapun tidak berakhir di situ selepas diuji pula dengan kematian adik bongsunya, Muhammad Luqman Idham, 20, juga akibat Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, 6 pagi tadi.
Ketika dihubungi, Hawana yang berpangkat Lans Koperal bagai berperang dengan perasaan apabila sesekali sebak berkongsi kisah kehilangan besar dalam hidupnya, namun tetap tenang menerima takdir.
“Ibu dan ayah saya meninggal dunia pada Jumaat. Hari yang baik dan moga kematian mereka diterima sebagai syahid.
“Belum hilang kesedihan di hati, saya mendapat berita pagi tadi mengenai pemergian adik bongsu saya, juga kerana Covid-19,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Hawana berkata, sukar baginya menggambarkan apa yang sedang dirasainya ketika ini, ia adalah kehilangan yang sangat besar bagi dirinya.
Katanya, dia cuma boleh berdoa semoga roh anggota keluarganya ditempatkan bersama orang beriman.
“Saya perlu kuat meneruskan kehidupan. Allah sahaja yang tahu perasaan saya,” katanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, seorang adik ipar dan anak saudaranya yang masih bayi turut disahkan positif Covid-19 serta menjalani kuarantin di rumah.
Hawana sudah melengkapi pengambilan dua dos vaksin pada 7 Mei lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, mengucapkan takziah kepada Hawana dan semua ahli keluarganya atas kehilangan tiga ahli keluarga mereka.
“Saya harap orang ramai sedar, dalam keadaan genting seperti ini, anggota polis juga kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19.
Katanya, walaupun tertekan apabila mendapat tahu ada ahli keluarga dijangkiti Covid-19, pegawai dan anggota polis masih menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.