`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, May 7, 2021

Apa salahnya beri Pandelela gelaran ‘Datuk’, soal ahli politik

 

Ketua Pemuda DAP Stampin, Abdul Aziz Isa berkata, Pandelela Rinong yang meraih pingat emas di kejohanan bertaraf dunia baru-baru ini, tidak terlalu muda untuk mendapat gelaran ‘Datuk’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Beberapa ahli politik pembangkang berkata, tiada salahnya menganugerahkan gelaran “Datuk” kepada penerjun negara, Pandelela Rinong.

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sesiapa saja yang menabur bakti kepada industri sukan layak menerima darjah kebesaran.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata, tidak baik untuk memberi ganjaran kepada atlet setiap kali mereka menang pingat.

Karim berkata, gelaran “Datuk” hanya akan menyebabkan Pandelela, yang berusia 28 tahun, “sukar berinteraksi secara normal di luar”.

Pandelela mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas acara 10m platform individu di Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo kelmarin.

Sebelum ini, bekas jaguh badminton negara, Lee Chong Wei dan juara skuasy dunia, Nicol David dianugerahkan gelaran “Datuk” ketika mereka berusia 26 tahun.

Syed Saddiq berkata, beliau hairan dengan tindakan menteri Sarawak itu yang menentang pemberian darjah kebesaran kepada atlet yang mengharumkan nama negara.

“Kumpulan sama yang cepat terima pangkat ‘Datuk’ kini menidakkan hak mereka yang layak.

“Kalau mahu negara berubah, ubah dahulu pandangan yang merendah-rendahkan atlet negara begini.”

Ketua Pemuda DAP Stampin, Abdul Aziz Isa berkata, beberapa individu terkenal di Malaysia juga menerima gelaran “Datuk” pada usia 20-an, walaupun “bukan semuanya mengharumkan nama negara”.

“Ada di antara mereka didakwa terbabit dengan jenayah terancang dan syarikat yang terlibat dengan penipuan.

“Ada juga pencapaian mereka tidak diketahui umum, tetapi entah bagaimana, mereka masih diberi gelaran ‘Datuk’,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kenyataan menteri negeri itu “memalukan” rakyat Sarawak.

Beliau menggesa Karim fokus memperbaiki kemudahan sukan air negara, menganjurkan lebih banyak pertandingan dan menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai aktiviti sukan air untuk melahirkan lebih ramai atlet muda seperti Pandelela.

“Alangkah baiknya jika Karim memberi sokongannya dan mengeluarkan kenyataan positif, berbanding bersikap negatif dan tidak menggalakkan,” katanya sambil menambah kenyataan seperti itu memberi kesan buruk kepada industri sukan Malaysia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.