`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 4, 2021

Didakwa langgar SOP, polis ambil keterangan Neelofa dan suami

 

Neelofa dan suaminya, PU Riz, dikatakan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, semalam.

SEREMBAN: Polis mengambil keterangan selebriti Neelofa Mohd Noor dan suaminya Haris Ismail, susulan penularan video yang didakwa menunjukkan mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Che Zakaria Othman berkata, polis juga selesai mengambil keterangan peniaga serta pekerja kedai karpet, yang dipercayai dikunjungi selebriti tersebut di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3 dekat sini pada Ahad.

“Setakat ini yang selesai memberi keterangan dua orang, iaitu peniaga kedai karpet itu dan pembantunya pagi tadi.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman, Neelofa dan suaminya akan beri keterangan petang ini,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada anggota polis yang juga petugas barisan hadapan Negeri Sembilan dalam sebuah program anjuran Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia Negeri Sembilan di sini.

Che Zakaria berkata tiada “layanan istimewa” diberikan kepada mana-mana individu yang melanggar SOP PKPB dan setiap kesalahan akan dihukum mengikut undang-undang yang berkuatkuasa.

“Siasatan polis adalah sama, tidak ada beza antara selebriti mahupun orang awam.

“Kita semua darah berwarna merah, semua sama sahaja, tiada keistimewaan,” kata beliau.

Spekulasi berhubung video pelanggaran SOP PKPB itu tular di media sosial, apabila Neelofa dan Haris, yang juga dikenali sebagai PU Riz, dikatakan memuat naik gambar dan video yang menunjukkan mereka berada di sebuah kedai karpet dipercayai di Nilai, semalam.

Sementara itu, Fazley dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil keterangan pasangan selebriti berkenaan selama empat jam di IPD Nilai bermula jam 2.30 petang.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.