`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, May 3, 2021

Lelaki khianat, tendang, ugut AJK pangsapuri didenda RM5,500

 

Mahkamah turut mengarahkan Syed Mohamad Nizam Syed Hussein dipenjara enam bulan jika tidak membayar dendanya. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang berang apabila diminta mengalihkan kereta yang diletak di luar petak parkir sehingga videonya tular di media sosial, hari ini didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku melakukan khianat, menendang dan mengugut seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) pengurusan di sebuah pangsapuri dua tahun lepas.

Majistret Nurshahira Abdul Salim turut memerintahkan pemandu lori Syed Mohamad Nizam Syed Hussein, 46, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda, lapor Bernama.

Tertuduh membayar denda itu.

Dia didakwa mencederakan Muhammad Khairul Anwar Khairuddin, 40, dengan menendang badan mangsa.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Bapa empat anak itu juga didakwa melakukan khianat dengan merosakkan besi palang pengawal pangsapuri itu.

Bagi tuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, tuduhan mengugut mangsa dibuat mengikut Seksyen 506 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Syed Mohamad Nizam didakwa melakukan semua kesalahan itu di bawah blok pangsapuri di Kota Damansara di sini pada 11.30 pagi 2 Nov 2019.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lau Chia Xin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran untuk tertuduh.

Bagaimanapun, Syed Mohamad Nizam yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum atas alasan dia menyesal perbuatannya, selain terpaksa menyara keluarga. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.