`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 19, 2021

Penduduk kampung ingkar SOP, solat Tarawih dalam gelap tanpa penjarakan

 

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin (kiri), berkata apa disarankan kerajaan supaya mematuhi SOP bukan perkara main-main kerana ia berkait jangkitan wabak Covid-19. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima yang bersempadanan Bachok dan Kota Bharu di Kelantan kerana penduduk melanggar SOP ketika menunaikan solat Tarawih dan fardu tanpa penjarakan fizikal.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, mengesahkan 20 hingga 40 jemaah menunaikan solat Tarawih dan fardu di kampung terbabit tanpa penjarakan fizikal, selain surau milik persendirian itu tidak dilengkapi mesin pengimbas suhu serta rekod jemaah.

“Kita kena faham, virus ini boleh merebak disebabkan tiada penjarakan fizikal ketika aktiviti berkumpulan, terutama di kawasan yang terhad.

“Apa yang disarankan kerajaan supaya patuh SOP bukan perkara main-main kerana ia berkait jangkitan wabak Covid-19,” katanya dipetik Harian Metro ketika meninjau Kampung Pauh Lima yang dikenakan PKPD mulai hari ini hingga 1 Jun.

Semalam, akhbar itu melaporkan puluhan jemaah di kampung berkenaan sanggup bersolat dalam gelap dan menyorok selipar untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, yang dikatakan antara punca tercetus kluster di lokaliti itu.

Penduduk kampung mengabaikan arahan pihak berkuasa yang tidak membenarkan surau itu mengadakan solat fardu, kecuali hanya untuk empat jemaah.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat yang turut serta dalam tinjauan di Kampung Pauh Lima berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan pelanggaran SOP di surau itu.

“Setakat ini, kita hanya mendengar laporan di media sosial dan tiada gambar yang membuktikan pelanggaran SOP di surau berkenaan,” katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membuat laporan supaya siasatan boleh dilakukan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.