`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 10, 2021

Saya Bukan ‘Superman’ Yang Atur Kejatuhan PH, Kata Dr M

 

Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau bukan “Superman” yang merancang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta mengatur untuk Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri menggantikannya Mac tahun lalu.

(FMT) – Mahathir berkata, beliau sendiri menjadi mangsa dalam kejatuhan PH selepas hanya berkuasa selama 22 bulan, malah mengambil pendirian tegas menolak tawaran menjadi perdana menteri untuk kerajaan baharu yang bakal menggantikan PH ketika itu.

“Ada orang yang kata semua ini dirancang oleh ‘Superman’, (bahawa) Dr Mahathir buat rancangan bagi orang itu jatuh dan dia berhenti, ini semua karut. Saya pun jadi mangsa tindakan dia orang,” katanya, menurut laporan Mingguan Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian apabila diminta mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa urutan peristiwa yang menyaksikan Muhyiddin menggantikan beliau sebagai perdana menteri, dirancang olehnya (Mahathir) di belakang tabir.

Mahathir berkata, beliau menolak tawaran menerajui kerajaan baharu yang antara lain, merangkumi Umno dan PAS, kerana tidak mahu bekerjasama dengan Najib Razak.

“Muhyiddin kata dia boleh (bekerjasama dengan Najib). Bila dia kata boleh, saya kata you ambillah. Lagi pun kita khianati pengundi kita yang undi kita supaya jatuhkan Najib, sekarang ini kita hidupkan Najib. Itu khianati pengundi. Tak boleh, saya tidak gamaklah (buat) macam itu,” tambah Mahathir.

Bekas pengerusi Bersatu itu kini memimpin Pejuang, namun parti itu masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi membolehkannya bertanding pada PRU15.

“Ini cara kerajaan hendak kurangkan orang yang boleh lawan dengan dia dalam pilihan raya. Jadi kalau boleh, kerajaan hendak supaya tiada parti lawan dia dan dia menang tanpa bertanding,” kata Mahathir.

Apa pun, beliau menegaskan Pejuang tetap akan bertanding pada PRU15 tetapi tidak akan “ikat diri kita dengan parti lawan atau parti kerajaan”.

“Kita bebas, kita mungkin ada sikit kerjasama dengan parti-parti yang tidak sebelah sini atau sebelah situ,” katanya, dan menambah kerjasama sedemikian mungkin dijalin dengan Warisan dan Muda.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.