`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 5, 2021

2 lelaki ditahan, polis selamatkan 10 wanita mangsa pemerdagangan manusia

 

Antara barangan yang dirampas polis dalam serbuan Ops Pintas di sebuah apartmen di Butterworth malam tadi. (Gambar PDRM)

BUTTERWORTH: Polis menyelamatkan 10 wanita warga asing yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah apartment, di Butterworth, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor, berkata dua lelaki berusia 34 dan 41 tahun itu ditahan di apartment tersebut dalam serbuan Ops Pintas pada 8.55 malam oleh sepasukan polis hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak seminggu lepas.

“Dalam serbuan itu, polis turut menyelamatkan 10 wanita warga asing berasal dari Thailand, Vietnam dan Indonesia semuanya berusia antara 31 hingga 36 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan.

Siasatan awal mendapati semua wanita itu dijadikan pelacur oleh sindiket tersebut yang mengenakan bayaran RM150 hingga RM300 bagi setiap sesi kepada pelanggan mereka di sekitar negeri ini dan sindiket tersebut dipercayai beroperasi lebih kurang setahun yang lepas,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, siasatan juga mendapati sindiket itu menjadikan hotel di sekitar Pulau Pinang sebagai transit dan kegiatan pelacuran namun sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun lepas menyebabkan mereka sukar untuk beroperasi.

Noorzainy berkata, sindiket itu menjadikan apartment berkenaan sebagai tempat menyembunyikan semua mangsa pemerdagangan berkenaan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Namun sejak bermulanya PKP 3.0 pada 1 Jun lepas, pergerakan operasi sindiket itu agak terganggu kerana semua hotel ditutup dan pelaksanaan total lockdown (sekatan penuh pergerakan), ekoran itu mereka mula berpindah ke apartment tersebut dan dipercayai masih menerima pelanggan yang mahu perkhidmatan (seks) di situ,” katanya.

Katanya susulan serbuan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit, sebuah kereta, tisu, kondom, jeli pelincir, tisu basah dan anak kunci rumah.

Beliau berkata, dua lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripadanya dikehendaki bagi satu kes penipuan di Kuala Lumpur dan siasatan polis juga mendapati mereka berperanan sebagai penjaga serta penghantar makanan kepada wanita warga asing berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kami juga masih lagi mencari dalang sebenar sindiket tersebut, dua lelaki itu kini direman dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.