`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 30, 2021

Korban duit simpanan, guru buka bank makanan depan rumah

 

Bank makanan di hadapan rumah Cikgu Murni di Indera Mahkota, Pahang, boleh dikunjungi bermula sekitar 8 pagi hingga 7 petang bagi mendapatkan barang makanan asas, antaranya beras, tepung, gula, telur, minyak masak dan kicap. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Paparan kisah sedih orang ramai di media sosial yang kehilangan mata pencarian dan kelaparan akibat terkesan dengan wabak Covid-19 menyentuh hati seorang guru sehingga mendorongnya mengambil inisiatif mewujudkan bank makanan (food bank) di hadapan rumahnya di Indera Mahkota, di sini.

Pendidik di SK Assunta Convent, Murnizam Muda, 42, berkata, tanggungjawab itu diambil kerana beliau tidak sanggup melihat masyarakat tertekan tidak dapat membeli makanan, terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil.

Mesra disapa Cikgu Murni, ibu kepada empat anak itu berkata, biarpun perlu menggunakan duit simpanan untuk berbelanja ribuan ringgit setiap minggu, beliau menganggap ia sebagai sumbangan dan amal kecilnya kepada masyarakat, selain mengajar murid di sekolah.

“Saya mula beri bantuan tahun lalu dengan hantar ke rumah orang, tetapi kebelakangan ini kes Covid-19 sangat tinggi, hendak keluar pun takut dan tidak dibenarkan. Jadi bermula awal bulan ini, saya buka meja di bawah pokok dan letak barang makanan asas untuk sesiapa sahaja datang ambil secara percuma,” katanya.

Bank makanan di hadapan rumahnya yang kelihatan seolah-olah kedai runcit mini itu boleh dikunjungi bermula sekitar 8 pagi hingga 7 petang bagi mendapatkan barang makanan asas, antaranya beras, tepung, gula, telur, minyak masak dan kicap.

Katanya, hampir setiap hari setelah selesai sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), beliau akan keluar membeli barang makanan asas di pasar raya sekitar Kuantan untuk kegunaan keesokannya.

“Saya memang beli secara borong kerana sehari perlu ‘top up’ barang di meja itu dalam empat hingga tujuh kali, sekali belanja lebih daripada RM500. Memang perlu berbelanja besar tapi saya tidak kisah gunakan simpanan sendiri asalkan mereka yang susah dapat makan.

“Banyak kes yang menyentuh hati, antaranya bunuh diri dan kelaparan, ia amat menyedihkan. Sumbangan saya ini tidak banyak mana tapi harap dapat meringankan beban yang mereka tanggung,” katanya.

Malah menurut beliau, usaha kecilnya mula mendapat perhatian jiran dan rakan setugas lain yang turut sama menyumbang dari segi wang tunai atau makanan.

“Kadang-kadang mereka datang letak terus barang makanan atas meja disediakan, ada juga beri wang tunai dan minta saya beli barang yang dah kurang,” katanya.

Menurut guru Bahasa Inggeris dan Pendidikan Seni itu, adakalanya beliau turut menggunakan khidmat penghantar barang bagi membantu individu yang tidak mempunyai kenderaan dan berada di lokasi agak jauh.

“Ada yang hubungi saya melalui Facebook dan nyatakan masalah mereka, misalnya tiada wang dan kenderaan, jadi saya upah ‘runner’ untuk hantar barang ke rumah mereka,” kata guru yang berasal dari Terengganu itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.