`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 30, 2021

Bayi lelaki ditemui bawah rumah dipercayai ‘dibuang’

 

Seorang bayi lelaki dipercayai ditinggalkan di bawah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru, di Lahad Datu, semalam. (Gambar Polis)

LAHAD DATU: Bunyi tangisan dan salakan anjing membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki yang dipercayai ditinggalkan di bawah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru, di sini, semalam.

Bayi yang dipercayai baru beberapa jam dilahirkan itu ditemui pemilik rumah berkenaan kira-kira jam 7.30 malam dalam keadaan masih mempunyai uri dan tertiarap di atas tanah berlumpur.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, selepas menemui bayi terbabit, pemilik rumah yang juga seorang wanita berusia 27 tahun bersama ahli keluarganya terus membawa bayi itu ke Jabatan Kecemasan di Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor yang merawat bayi berkenaan menganggarkan usia bayi itu sekitar tiga atau empat jam sebelum ditemui.

“Pasukan paramedik juga percaya bayi seberat satu kilogram itu dilahirkan dalam keadaan pramatang iaitu berada dalam kandungan sekitar tujuh bulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rohan berkata, setakat ini, bayi terbabit berada dalam keadaan tidak stabil dan ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) untuk rawatan serta pemantauan.

Pemilik rumah terbabit menunjukkan tempat bayi itu ditemui. (Gambar Polis)

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah atau membuang kanak-kanak terbabit.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Rohan menyeru masyarakat yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkan maklumat.

Katanya, masyarakat boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes, Aspalainah Mohd Zain di nombor 0111-9019728 atau hadir ke balai polis berhampiran. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.