PETALING JAYA: Seramai 13 individu termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, atas pertuduhan melanggar SOP ketika sekatan pergerakan penuh dengan melakukan perarakan kematian pada 17 Jun lalu.
Tertuduh S Munisvaran, 24, K Surendran, 35, B Subramaniam, 23, K Yeshwar, 22, S Logeswari, 23, dan dua remaja mengaku bersalah manakala P Surendran, 21, M Jagan, 24, M Thiruselvaan, 21, N Amos, 19, N Vinhoth, 21 dan M Guganeswaran, 21, minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara dua bulan ke atas Munisvaran, Surendran, Subramaniam, Yeshwar dan Logeswari manakala kedua-dua remaja dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak sebelum jatuh hukum.
Surendran, Jagan, Thiruselvaan, Amos, Vinhoth serta Guganesawaran pula masing-masing dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 3 Ogos untuk sebutan semula kes, menurut laporan Bernama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Siram, Butterworth pada 2.50 petang, 17 Jun lalu mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM50,000 jika sabit kesalahan.
Thiruselvaan, Jagan, P Surendran dan Guganeswaran, yang turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki tatu serta kain rentang dengan simbol swastika dan dua syiling bertindih yang melambangkan kumpulan kongsi gelap.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM15,000.
Majistret M Kalaiarasi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai serta menetapkan 3 Ogos untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abd Halim dan Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.