`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, June 28, 2021

Jual nombor ekor haram punca kluster baharu di Sabah

 

Sabah merekodkan 190 kes baharu Covid-19 hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Masidi Manjun.

PETALING JAYA: Aktiviti menjual nombor ekor dipercayai menjadi punca tercetusnya satu daripada tiga kluster baharu Covid-19 yang direkodkan di Sabah hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Masidi Manjun.

Kluster Kuarters Bata Durok di Keningau melibatkan 12 kes kumulatif dicetus kes indeks seorang lelaki warga Malaysia berusia 69 tahun dikesan positif pada 23 Jun dan saringan kontak rapat mengesan 11 lagi kes positif Covid-19, lapor Bernama.

“Kluster ini melibatkan penularan kes Covid-19 dalam komuniti di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Daerah Keningau.

“Berdasarkan siasatan awal, aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram dipercayai punca jangkitan merebak kepada ahli keluarga seterusnya komuniti,” kata beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan Covid-19 menerusi satu kenyataan di sini malam ini.

Turut direkodkan hari ini Kluster Tembok Kota Kinabalu melibatkan penularan Covid-19 dicetus oleh kategori golongan berisiko di Penjara Pusat Kepayan di sini dan melibatkan 34 kes kumulatif Covid-19 sehingga hari ini.

“Kluster ini melibatkan penularan jangkitan di Kota Kinabalu sebanyak 31 kes, Papar dua kes dan Penampang satu kes.

“Kes indeks ialah banduan lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun yang disahkan positif pada 17 Jun hasil saringan orang kena tahan di penjara pusat tersebut,” katanya.

Satu lagi kluster direkodkan hari ini ialah Kluster Linau Kumpang di Kota Belud yang sehingga hari ini mencatat 30 kes kumulatif Covid-19.

“Kes indeks seorang wanita warga Malaysia berusia 40 tahun disahkan positif pada 13 Jun sebelum ujian saringan menemukan 29 lagi kes positif terdiri dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal kes indeks yang berasal dari Kampung Ejuk berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti ketika menziarahi keluarganya di Kampung Linau Kumpang pada 10 Jun lepas.

Sabah merekodkan 190 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,767 kes, manakala pesakit sembuh pula seramai 151 orang menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada pandemik itu 66,681 orang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.