`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, June 23, 2021

Pemilik, pekerja perniagaan mikro berbaris untuk makanan percuma, kata persatuan

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Michael Kang berkata, individu dalam kumpulan M40 kini menjadi kategori B40.

PETALING JAYA: Putrajaya digesa memberikan bantuan kewangan segera kepada pemilik perniagaan kecil yang kini tidak mempunyai pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Michael Kang berkata, pusat kebajikan melihat lebih ramai pemilik dan pekerja perniagaan mikro, serta sektor tidak formal berbaris untuk mendapatkan makanan percuma.

“Kami dapat melihat kumpulan M40 menjadi kumpulan B40.

“Dan mereka dalam kumpulan B40 menjadi lebih miskin,” katanya dalam perbincangan panel pada pelancaran maya laporan Bank Dunia “24th Malaysia Economic Monitor: “Weathering the Surge” hari ini.

Kang berkata, dana daripada pelbagai pakej rangsangan ekonomi kerajaan boleh membantu mereka yang terbabit dalam perniagaan mikro untuk membeli keperluan asas.

“Mereka bergantung kepada punca pendapatan harian, yang paling tidak hanya cukup untuk dua hingga tiga hari.

“Jika mereka tidak menjana pendapatan, mereka akan menghadapi masalah untuk membeli makanan,” katanya sambil menambah dana itu boleh diberikan segera oleh agensi kerajaan yang dengan PKS dan perniagaan mikro.

Beliau turut menggesa agensi kerajaan itu menjangkau perniagaan mikro dan membantu memperluas jangkauan mereka melalui pendigitalan.

“Bantu sektor tidak formal untuk berniaga dalam talian, beroperasi dan bantu dari segi sistem penghantaran.”

Kang berkata, PKS bergelut sejak PKP pusingan pertama tahun lalu, tetapi mampu bertahan akbat bantuan dan moratorium segera, dengan sesetengahnya masih mempunyai lebihan wang tunai.

“Tetapi ini, 30% hingga 40% mengeluarkan wang tunai simpanan dan tidak mampu meneruskan operasi mereka ketika lanjutan sekatan pergerakan.”

PKP 3.0 mula dilaksanakan 12 Mei lalu, ia disusuli PKP penuh sejak 1 Jun lalu.

Kang berkata, langkah seterusnya ialah membenarkan lebih banyak sektor perniagaan dibuka di bawah Fasa II Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin minggu lalu,

Fasa II akan dimulakan apabila purata kes harian berkurangan bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi di tahap kritikal dan 10% penduduk lengkap dua dos vaksin.

Semua sektor akan dibenarkan dibuka mulai Oktober di bawah Fasa IV apabila purata kes harian Covid-19 berkurangan kepada 500 kes ke bawah dan 60% penduduk lengkap dos suntikan vaksin.

“Perniagaan dalam peruncitan, pelancongan dan beberapa sektor pembuatan mungkin tidak dapat meneruskan operasi serta kekal dengan pekerja mereka (sehingga Oktober),” kata Kang.

Awal bulan ini, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memberi amaran banyak PKS dan perniagaan mikro tidak lagi mampu bertahan di bawah PKP dan tidak mempunyai aliran tunai untuk meneruskan perniagaan mereka.

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, walaupun baru memasuki minggu kedua PKP penuh, syarikat terbabit bergelut untuk bertahan.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 50,000 PKS mungkin gulung tikar, jika PKP dilanjutkan empat minggu lagi.

Katanya, kira-kira 100,000 syarikat telah menghentikan beroperasi sejak PKP pertama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.