`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, June 19, 2021

Pesara tentera tinggal bawah jambatan dipindah ke rumah transit

 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun menyampaikan bantuan kepada Suria Mohamad Hassan ketika lawatan ihsan ke atas veteran tentera itu hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pesara tentera, Suria Mohamad Hassan yang mendiami bawah Jambatan Loke Yew bersama enam lagi ahli keluarganya kini dipindahkan ke rumah transit di Flat Sri Johor.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Mohd Harun berkata, keluarga berkenaan akan ditempatkan sementara di rumah transit itu selama satu minggu sementara pihaknya berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi kerajaan lain.

“Ia adalah bagi memberikan kediaman lebih baik dan di samping anak-anak diberikan bantuan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Melihat kepada keadaan rumah, saya tidak sangka ada yang hidup daif di bandar raya Kuala Lumpur dan ia bukan di pedalaman,” katanya menurut laporan Berita Harian selepas mengadakan lawatan ihsan di tempat tinggal Suria, hari ini

Suria, 59 dan isteri, Azariyah Abd Aziz, 43, serta lima anaknya yang berusia tiga hingga 14 tahun menghuni “rumah” usang sempit berdindingkan papan lapis dan tanpa bumbung bawah jambatan terbabit kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih sempurna sejak November 2019.

Rina berkata, mereka yang menghuni rumah itu menggunakan dapur kayu tanpa bekalan elektrik.

Kata Rina lagi, kerajaan tidak akan berkompromi dengan kebajikan kanak-kanak yang masih bersekolah.

“Jadi kita memberikan bantuan segera dan apabila membuat semakan, keluarga ini tidak mempunyai rekod JKM.

“Kita tidak mahu Suria dan isterinya berputus asa tetapi pada masa sama, kemiskinan ini tidak diwarisi, berharap masa anak-anak lebih cerah,” katanya.

Dalam pada itu, Rina akan mengarahkan JKM menyalurkan bantuan dan sokongan psikologi kepada keluarga berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dilaporkan akan memantau nasib pesara tentera itu dan memaklumkan, keluarga itu telahpun disantuni oleh JHEV ATM dan Baitulmal Wilayah Persekutuan minggu lalu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.