`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, June 13, 2021

RM300 hingga RM800 untuk ‘dokumen rentas negeri’

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Elias Omar berkata, suspek mendakwa surat itu boleh digunakan untuk merentas negeri dalam tempoh PKP 3.0.

PETALING JAYA: Seorang lelaki memperdaya orang ramai dengan menjual dokumen palsu yang membenarkan seseorang merentas negeri pada harga antara RM300 hingga RM800.

Malah, dia turut mengiklankan ‘perkhidmatan’ itu di aplikasi WeChat, sebelum tular dan diperoleh inspektor polis yang berkhidmat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Elias Omar dipetik Harian Metro berkata, siasatan dibuat susulan laporan pegawai berumur 35 tahun itu, yang membawa kepada penahanan suspek berusia 23 tahun yang beralamat di Taman Maju, Jasin, Melaka pada 3 Jun lalu.

Katanya, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek dilepas dengan jaminan polis.

“Pengadu menerima mesej WhatsApp yang terdapat gambar surat rasmi panggilan saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah dan semakan mendapati ia dokumen dengan nombor rujukan JSJK/KS/146/2020 bertarikh 12 Mei 2021, serta pernah dikeluarkannya kepada saksi yang beralamat di Ipoh, Perak.

“Ia sebagai kebenaran untuk saksi hadir bagi membantu siasatan kes yang sedang dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Butiran penerima, pegawai penyiasat dan tandatangan dalam surat itu sudah dikaburkan namun, pengadu mendapati dokumen dibuat atas nama individu beralamat di Johor dan dimuat naik dalam akaun WeChat ID atas nama Zhixian,” katanya.

Elias berkata, dalam pautan di akaun WeChat itu suspek mendakwa surat terbabit boleh digunakan untuk tujuan merentas negeri dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 serta dijual dengan harga antara RM300 hingga RM800.

“Pengadu mengesyaki suspek membuat pindahan ke atas butiran penerima dan memalsukan surat itu bagi tujuan penipuan. Laporan dibuat pada 2 Jun, sebelum suspek ditahan pada 3 Jun,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang perkara yang menyalahi undang-undang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.