`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, June 23, 2021

Tiada undang-undang hadkan isu boleh dibahas di Parlimen, kata pemimpin pembangkang

 

Parlimen perlu diberikan kebebasan untuk membahaskan perkara penting kepada negara seperti belanjawan, dasar berkaitan keselamatan dan kesihatan, kata bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang tidak bersetuju syarat dikenakan untuk isu yang boleh dibahaskan di Parlimen, jika ia bersidang semula.

Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Karim berkata, tiada peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang menyekat kebebasan Ahli Parlimen untuk berucap dan berbahas di Dewan Rakyat.

Katanya, Ahli Parlimen yang berucap dalam sidang Dewan Rakyat juga mempunyai kekebalan atau imuniti daripada pertuduhan jenayah dan tuntutan sivil.

“Tidak ada mana-mana Peraturan Mesyuarat Dewan rakyat atau ‘Standing Orders’ yang boleh menyekat kebebasan Ahli Parlimen bercakap dan berbahas.

“Menjadi satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, jika sesiapa cuba menyekat tugas dan tanggungjawab Ahli Parlimen dengan mengugut, mengancam atau menakut-nakutkan, termasuk usaha untuk menyekat kebebasan bersuara Ahli Parlimen,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilapor menyifatkan tindakan mengenakan syarat mengenai isu yang boleh dibahaskan di Parlimen, jika kerajaan membuka semula persidangan, sebagai tidak demokratik.

Sementara itu, bekas wakil rakyat Umno, Tawfik Ismail tidak bersetuju perbahasan dihadkan kepada isu tertentu sahaja.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut itu berkata, Parlimen perlu diberikan kebebasan untuk membahaskan perkara penting kepada negara seperti belanjawan, dasar berkaitan keselamatan dan kesihatan.

“Ini sesuai dengan keadaan Covid-19 sekarang dan perbincangan tidak boleh dihadkan, kecuali jika melanggar Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan,” katanya kepada FMT.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Boo Cheng Hau pula berkata, sebarang isu berkaitan kebajikan rakyat, sosioekonomi negara dan kedaulatan undang-undang boleh dibahaskan di Parlimen kerana itu adalah tugas wakil rakyat di Dewan Rakyat.

Bekas ADUN Skudai itu berkata, kerajaan memerlukan maklum balas daripada Parlimen bagi membahaskan kaedah lebih berkesan menangani krisis negara, termasuk pandemik dan fungsi demokrasi berparlimen.

“Malah, semua Ahli Parlimen dibayar elaun oleh pembayar cukai untuk menegakkan demokrasi berparlimen, mempertahankan kebajikan rakyat, memastikan ketelusan tadbir urus kerajaan dan menteri Kabinet.”

Bekas pengerusi DAP Johor itu berkata, wabak Covid-19 boleh ditangani lebih berkesan, jika kerajaan mendengar suara rakyat melalui wakil rakyat dalam acuan demokrasi berparlimen.

Katanya, kerajaan juga memerlukan ilham bagi mempertingkatkan ikhtiar dalam pemberian bantuan kewangan kepada rakyat B40 dan M40, perusahaan kecil dan sederhana serta memulihkan ekonomi negara secepat mungkin. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.