KOTA KINABALU: Seorang wanita direman dua hari, bermula hari ini, kerana disyaki mengugut anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah berkata, wanita itu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Lintas kira-kira 11.20 pagi semalam.
Katanya, ketika ditahan, polis turut merampas pakaian yang dipakai wanita berusia 34 tahun itu dalam kejadian di SJR, selain telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan miliknya.
Beliau berkata, tiga telefon pintar milik anggota polis bertugas turut diambil bagi membantu siasatan lanjut.
“Pakaian yang dirampas itu bagi mengenal pasti ia adalah pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian yang dirakam dalam video berkenaan.
“Ketika insiden itu, polis mengeluarkan saman kepada wanita terbabit atas kesalahan cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.
“Bagaimanapun, berlaku kekecohan dengan wanita terbabit mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan ‘kau siapa mau saman saya, nasib kau lelaki, kalau perempuan, saya kasi telanjang kau dan rungkup (terkam) kau’,” katanya pada sidang media di pejabatnya.
Zaidi berkata, pihaknya telah mengambil keterangan seorang pegawai dan tujuh anggota polis serta Jabatan Sukarelawan (Rela) untuk membantu siasatan.
Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Siasatan kini meliputi 80% dan wanita itu juga memberikan kerjasama amat baik sejak ditahan,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita dikatakan “mengherdik” anggota polis sebelum meninggalkan SJR di Kepayan pada 1 Jun lepas. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.