`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 7, 2021

30 kakitangan Hospital Sungai Petani positif Covid-19

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dr Mohd Hayati Othman berkata, hanya wad tertentu ditutup untuk proses sanitasi dengan bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

PETALING JAYA: Seramai 30 kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani didapati positif Covid-19 dipercayai membabitkan penularan varian Delta dan Beta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dr Mohd Hayati Othman, berkata kakitangan hospital yang positif adalah doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan.

“Hospital ini tidak ditutup dan tidak berlaku penutupan semua bahagian, hanya wad tertentu ditutup untuk proses sanitasi dengan bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

“Bagaimanapun mereka yang perlu melakukan rawatan susulan di klinik pakar, tarikh janji temu dan jadual akan disusun semula,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau mengulas mesej tular mendakwa HSAH ditutup selepas 100 kakitangannya dijangkiti Covid-19 varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta yang dikesan di Afrika Selatan.

Mesej itu turut menyatakan terdapat arahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) agar hospital hanya mengambil dan merawat kes yang benar kecemasan sahaja berikutan penularan virus varian berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya meminta orang ramai supaya tidak resah dengan kejadian ini kerana ia sedang dikendalikan JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Katanya, orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta tidak keluar rumah jika tiada keperluan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.