`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, July 6, 2021

4 mengaku tak salah bunuh bekas pengarah MARDI

 

Empat tertuduh itu turut didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjata terhadap seorang jurutera dengan kerugian dianggarkan RM38,000. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong, dalam kejadian samun di rumahnya, pada November tahun lalu.

Pengawal keselamatan, S Vickeswaran, 23; penghantar surat, P Kogilan, 24; penganggur, M Ravindran, 24, dan juruelektrik, T Sugu, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Berdasarkan pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa membunuh Wan Hassan, 73, dalam kejadian samun di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya Kuala Lumpur, antara jam 3.35 dan 4 pagi, pada 29 November 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Ravindran turut dituduh mencederakan isteri Wan Hassan, Sarifah Yusof, 71, menggunakan sebilah parang.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

Selain itu, keempat-empat tertuduh juga didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan menggunakan sebilah parang dan sebatang tukul besi terhadap jurutera, Mohd Muzaffar Zulkifli Martin, 33, dengan anggaran kerugian sebanyak RM38,000.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Tiara Titiwangsa, Setapak di sini antara jam 4.12 dan 5.30 pagi, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk pengurusan kes dan tarikh perbicaraan dijadualkan pada Februari tahun depan.

Ketika prosiding hari ini, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dayana Mohamad, manakala kesemua tertuduh wakili peguam Sheelan Arjunan.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, cedera ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.