PETALING JAYA: Pemimpin PAS menjelaskan catatan Abdul Hadi Awang bahawa pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya “kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna” boleh menghapuskan virus itu.
Sambil mempertahankannya, Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata, apa yang ingin sampaikan Hadi ialah hanya dengan izin “Tuhan” sahaja wabak Covid-19 yang melanda dunia dapat dihapuskan di samping pemerintah berusaha mendepaninya.
“Tulisan Hadi menjelaskan bahawa Allah sahaja yang Maha Berkuasa untuk menghapuskan wabak Covid-19, adapun manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan,” katanya ketika dihubungi.
Kamaruzaman turut menganggap respons balas veteran DAP, Lim Kit Siang terhadap kenyataan Hadi dengan menyifatkan “kerajaan Allah” menggambarkan pimpinan negara sekarang sebagai satu provokasi keterlaluan dan sangat melampau terhadap Islam.
“Perbuatan pemimpin DAP itu memutar belit kenyataan Presiden PAS sehingga menghina Allah dengan perkataan ‘Kerajaan Allah’ perlu diambil tindakan tegas kerana menyentuh sensitiviti umat Islam dan akan mengeruhkan lagi keharmonian antara kaum di Malaysia.
Katanya, jika pemimpin DAP terbabit tidak berpuas hati terhadap kerajaan, usahlah dikaitkan dengan sensitiviti agama Islam.
“Sekiranya benci kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional sekalipun, usah biadab sehingga meletakkan kelemahan pemerintahan itu kepada Tuhan umat Islam pula.
“Sepatutnya pemimpin terbabit lebih berhati-hati dalam menuturkan pandangan kerana ia berkait dengan soal akidah umat Islam,” katanya.
Baru-baru ini, Kit Siang memuat naik satu kenyataan dalam bahasa Inggeris di akaun Facebooknya yang mempersoalkan mengapa Malaysia masih berada pada landasan tercorot dalam indeks normal dalam menangani pandemik Covid-19.
Kenyataan Kit Siang itu adalah respons kepada kenyataan Abdul Hadi.
Berikutan itu, banyak pihak membidas tulisan Kit Siang yang disifatkan sebagai tidak sensitif dan boleh mencetus kekeliruan orang ramai terhadap Islam.
Hadi yang juga presiden PAS, sebelum itu dilaporkan berkata pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya “kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna” boleh menghapuskan virus itu.
Katanya, manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan, oleh itu pemimpin perlu bermuhasabah diri untuk menampung kekurangan berkenaan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.