PETALING JAYA: Pengendali pusat jagaan kanak-kanak seluruh negara merayu kerajaan membenarkan mereka beroperasi semula dalam Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), seperti juga taska dan tadika yang sudah dibuka untuk anak-anak petugas barisan hadapan.
Menurut pengusaha, kebenaran sama patut diberikan kepada mereka terutama ketika sesi persekolahan kini dilakukan secara maya dan ia dilihat adalah alternatif terbaik untuk meninggalkan anak-anak di rumah.
Presiden Persatuan Taska & PJKK (Pusat Jagaan Kanak-Kanak) Melaka, Kenneth William John berkata, pusat jagaan itu disediakan untuk kanak-kanak pelbagai usia berbanding taska dan tadika, kerana kebanyakannya masih kecil untuk ditinggalkan di rumah oleh ibu bapa bekerja.
“Kanak-kanak ini biasanya berusia antara empat hingga 12 tahun yang biasanya akan pergi ke pusat jagaan selepas waktu sekolah ketika ibu bapa masih bekerja,” kata John yang juga timbalan presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, kepada FMT.
“Ini termasuk kanak-kanak yang baru habis sesi di tadika pada waktu tengah hari dan memerlukan jagaan di tempat selamat oleh penjaga terlatih,” katanya.
Beliau meminta kerajaan memberi layanan kepada mereka seperti pusat lain di bawah industri penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, dan diberi keutamaan menerima vaksin untuk beroperasi dengan selamat.
“Ini bukan soal wang. Banyak pusat jagaan kanak-kanak tidak membuat keuntungan besar pun. Ia demi memastikan anak-anak ini selamat dan boleh berada dalam persekitaran yang produktif.
“Sekiranya taska dan tadika boleh dibuka untuk anak-anak petugas barisan hadapan, mengapa tidak untuk pusat jagaan harian kanak-kanak? Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diluluskan dan ia berfungsi dengan baik,” katanya.
Nazatul Aini, yang mengusahakan pusat jagaan di Sepang, turut bersetuju sambil menjelaskan mereka tidak menerima sebarang akses terhadap bantuan kerajaan selain tidak dibenarkan beroperasi.
“Bantuan tunai RM3,000 yang diumumkan (pakej Pemulih oleh kerajaan) bukan untuk kami. Ia hanya disediakan untuk pusat yang dibenarkan beoperasi iaitu taska dan tadika.
“Kami menerima dua kali tamparan kerana tidak dibenarkan beroperasi dan tidak menerima sebarang bantuan. Ramai daripada kami menderita ketika ini,” katanya.
Erlinda Yap, yang mengendalikan sebuah pusat jagaan di Pahang, berkata dia dan rakan pengusaha lain ingin terbabit dalam perbincangan dengan kerajaan dan mahu diberi peluang menyuarakan masalah mereka.
“Ibu bapa masih lagi menghubungi kami bertanyakan sama ada dibuka semula atau sebaliknya kerana mereka perlu keluar bekerja, dan kami terpaksa menolak.
“Kami bertanggungjawab terhadap anak-anak ini dan ibu bapa. Ibu bapa yang bekerja sudah pun mengalami tekanan untuk mencari rezeki ketika pandemik dan kini tiada tempat untuk menghantar anak,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.