PETALING JAYA: Malaysia sepatutnya berusaha mengelak “senarai larangan perjalanan” mana-mana negara berdasarkan situasi Covid-19 di sini berbanding memberi fokus kepada pengiktirafan vaksin untuk perjalanan ke luar negara, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.
Beliau berkata, syarat berhubung perjalanan rakyat Malaysia ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) masih dikawal oleh peraturan dan dasar kerajaan itu sendiri.
Oleh itu Ong berkata, Malaysia sepatutnya mementingkan usaha meningkatkan kadar vaksinasi domestik sebagai sebahagian strategi besar untuk mengekang penularan Covid-19 dan berada dalam kategori yang memerlukan pengembara melakukan perkara minimum.
Sebagai contoh, United Kingdom (UK) yang menjadi negara di Eropah yang paling banyak dikunjungi rakyat Malaysia, beliau berkata, negara harus berusaha ke arah mencapai status negara “hijau”.
“Mereka yang melakukan perjalanan ke UK dari negara kategori ini hanya perlu mengambil ujian Covid-19 sebelum penerbangan dan hari kedua lawatan di sana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, ketika ini Malaysia berada dalam kategori “Amber” oleh UK, di mana pengembara harus mengambil ujian Covid-19 sebelum penerbangan, selain menjalani kuarantin 10 hari mandatori sama ada di hotel atau rumah.
Pengembara dari negara dalam kategori ini juga perlu menanggung kos pada hari kedua dan kelapan bagi tempoh kuarantin mereka.
Dengan pelaksanaan sekatan ini Ong berkata, Malaysia juga perlu memberikan perhatian dalam meningkatkan kadar vaksinasi domestik sebagai sebahagian strategi besar melawan jangkitan Covid-19.
Beliau mengulas laporan CodeBlue yang menyatakan bahawa rakyat negara ini yang diberi suntikan vaksin AstraZeneca keluaran Jepun dan India mungkin berdepan masalah untuk melakukan perjalanan ke negara anggota EU kerana fasiliti pengeluarannya tidak diiktiraf Agensi Perubatan Eropah (EMA).
Ong berkata, negara EU bagaimanapun masih belum mengumumkan syarat untuk pengembara yang melakukan perjalanan ke luar negara berdasarkan fasiliti pengeluaran vaksin AstraZeneca.
Tambah beliau, EMA adalah satu-satunya agensi kawal selia farmasi yang berkaitan vaksin dikeluarkan untuk pasaran EU.
“EMA tidak memutuskan peraturan berkaitan pengembara luar negara sama ada ke negara EU atau dari negara terbabit.
“Seperti mana-mana pengawal selia farmasi, EMA hanya mementingkan proses pengeluaran di fasiliti di mana vaksin dihasilkan,” katanya.
Ong berkata, faktor biasa yang menjadi perhatian bagi perjalanan di kebanyakan negara EU adalah berhubung penyebaran virus Covid-19 dari negara asal pengembara, bilangan kes dan jenis varian terbaru.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, tidak ada sebab untuk negara anggota EU mendiskriminasi mana-mana fasiliti pengeluar vaksin AstraZeneca.
Khairy turut berkata, kerajaan akan membuat permintaan untuk AstraZeneca memaklumkan EU bahawa semua fasiliti mereka menggunakan amalan pengeluaran dan formulasi yang sama. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.