`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, July 7, 2021

JAS sedang kenal pasti individu terlibat pencemaran Sungai Sengkang

 

Mengenai kerja pembersihan di sungai dan parit yang terjejas, Pengarah JAS Johor, Famey Yusoff berkata ia hampir selesai 100% dan pihaknya masih menunggu laporan analisis. (Gambar Bernama)

KULAI: Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor (JASNJ) sedang mengenal pasti individu atau pihak terlibat dengan pembuangan bahan kimia yang dikatakan menjadi punca pencemaran Sungai Sengkang, baru-baru ini.

Pengarah JASNJ, Mohd Famey Yusoff berkata beberapa individu telah dirakam percakapan mereka sejak Isnin bagi membantu siasatan mengenai pencemaran itu di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“Kita sudah panggil beberapa individu sejak semalam untuk membantu siasatan. Jadi pada tahap ini, saya tidak boleh memaklumkan lebih lanjut,” katanya kepada pemberita di sekitar lokasi kejadian semalam.

Awal hari ini, pasukan JASNJ memeriksa sebuah premis di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang yang dipercayai menjadi stor penyimpanan kepada 116 tong IBC (kontena pukal pertengahan) berisi pelbagai campuran bahan kimia yang ditemui kelmarin.

Mengulas lanjut, Mohd Famey berkata pemeriksaan itu dijalankan kerana lokasinya yang dekat dengan kawasan di mana pencemaran berlaku di sungai tersebut.

Beliau berkata pemeriksaan JASNJ turut mendapati premis itu beroperasi secara haram kerana tapak premis berstatus tanah pertanian.

“Tapak ini kita sudah kenal pasti sebagai lot tanah pertanian, jadi kalau kita tengok (tindakan pelaku ini) memang salah, dari segi penggunaan tanah itu pun sudah salah.

“Jadi secara tidak langsung, tapak ini adalah tapak haram dan stor penyimpanan bahan buangan kimia secara haram,” katanya tanpa menjelaskan sama ada terdapat kaitan antara premis itu dengan pencemaran di sungai tersebut.

Menyentuh kerja pembersihan di sungai itu dan parit yang terjejas, Mohd Famey berkata ia hampir selesai 100% dan pihaknya masih menunggu laporan analisis mengenai beberapa sampel bahan kimia yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata pencemaran itu juga tidak mengganggu Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail yang merupakan LRA paling hampir kerana terletak lebih 20 kilometer.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan air sungai di sekitar lokasi kejadian bertambah baik manakala kerja pembersihan parit masih berjalan dan hanya beberapa kakitangan JASNJ dibenarkan masuk ke premis terbabit untuk menjalankan siasatan.

Ahad lepas, dua wanita dilapor dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala muntah dipercayai terhidu bahan kimia dari sebuah tangki di stor penyimpanan yang mengalir ke sungai berdekatan rumah mereka di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.