`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, July 8, 2021

Rasuah adalah pencabulan hak asasi manusia

 

Apakah yang menyebabkan sesetengah negara di Scandinavia atau New Zealand misalnya saban tahun menjuarai indeks anti rasuah Transparency International?

Untuk 2020, bawah pentadbiran kerajaan Melayu-Islam yang diterajui Umno, PAS, dan Bersatu, Malaysia jatuh ke markah 51 (per seratus) berbanding 53 pada 2019. Bawah kerajaan yang gilang gemilang ini, markah Malaysia malah bawah Israel yang beroleh 60 poin. Kaget.

Ada banyak sebab markah yang diperolehi Malaysia agak rendah berbanding negara bukan Islam seperti Denmark atau New Zealand yang jauh lebih Islami dalam konteks anti-korupsi ini. Padahal di sana mereka tidak dipimpin ulama dan mufti. Sungguh kaget.

Di Scandinavia, nilai integriti ditekankan sejak masih anak-anak. Integriti (atau takwa dalam kerangka yang ditunjukkan oleh Ali Abi Talib) sangat mendasar di negara mereka. Cuma bezanya, negara bukan Islam ini menggunakan istilah integriti. Kita yang patut lebih baik kerana ada kata dan konsep lebih mengkhusus mengenai hal ini, iaitu takwa, ternyata meleset.

Selain dari penerapan nilai baik sejak di tadika, salah satu punca negara di Scandinavia beroleh markah tinggi ialah kerana rasuah ditangani atau ditanggapi sebagai pencabulan hak asasi manusia. Juga kaget sekali.

Bagaimanakah rasuah dihubungkan dengan hak asasi manusia?

Menurut bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia United Nations, Navi Pillay, korupsi atau rasuah halangan terbesar pelaksanaan hak asasi manusia yang merentasi aspek sivil, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan, termasuklah pembangunan.

Ini kerana rasuah mencabuli prinsip paling asas dalam hak asasi manusia iaitu ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti, anti-diskriminasi, dan akses untuk terlibat dalam setiap aspek kemasyarakatan.

Prinsip-prinsip yang disebutkan di atas memainkan peranan besar dan paling berkesan untuk menentang rasuah dalam sesebuah negara.

Seperti mana yang kita tahu hak asasi manusia adalah hak yang wujud dalam diri manusia tanpa mengira kaum, jantina, kenegaraan, bahasa, kepercayaan agama, atau apa juga status.

Terdapat banyak kovenan antarabangsa yang memelihara dan melindungi hak asasi kita seperti International Convention on Civil and Political Rights (ICCPR), International Convention on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR), Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW), dan Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (CERD).

Malangnya Malaysia bukan penandatangan kebanyakan kovenan sedia ada ini. Malah ketika kerajaan Pakatan Harapan berusaha membaiki prestasi hak asasi manusia di negara kita (baca juga sebagai rasuah), seperti menandatangani Statut Rom, terdapat kumpulan ‘lebai’ yang bangkit membantah dan rela untuk menafikan hak orang lain. Kaget? Tentu, malah menjijikkan.

Bagaimana misalnya pencabulan hak asasi manusia itu berkait dengan rasuah?

Begini, bayangkan korupsi meresapi sistem kehakiman sesebuah negara. Bayangkan rasuah boleh pengaruhi penegakan keadilan, di mana para hakim atau pendakwa raya disogok; kaget? Tidakkah ini bersalahan dengan Islam?

Bayangkan rasuah di sempadan yang mana walaupun seseorang migran punya semua dokumen sah, tetap dinafikan hak untuk bergerak bebas; melainkan merasuah. Sungguh kaget. Bayangkan kerana tidak mahu merasuah itu, migran diperdayakan, ditahan, dan dibuli. Betul kaget.

Nyawa kita sebagai manusia juga barangkali terancam apabila ada pengawal sempadan boleh disuap yang memberi kelonggaran serangan teroris.

Sesetengah kita mungkin dihambakan sehingga mengakibatkan penyeludupan manusia, dan hal ini tidak ditangani kerana ada dalam kalangan kita menerima rasuah.

Atau hak kita untuk hidup terjejas, apabila terdapat permintaan rasuah untuk, atau dalam bentuk penyelewengan dan pengambilan komisen, katakan dalam pembelian vaksin.

Hak untuk menerima pendidikan juga mungkin dinafikan apabila ada rasuah dalam kalangan sistem pendidikan di mana sesetengah kaum tertinggal khusus melibatkan orang pribumi.

Hak manusia untuk mendapat kerajaan yang adil juga runtuh setelah ada rasuah berupa pembelian pengundi, atau “scheme of things”. Kaget. Kaget. Kaget. Terdapat banyak lagi contoh.

Pendek kata anti-rasuah adalah objektif dan realisasi hak asasi manusia yang utama.

Justeru, governans yang baik melibatkan hak untuk mendapat maklumat, hak untuk meluahkan perasaan dan pendapat, hak untuk berparti (menubuhkan parti politik baharu misalnya), dan kebebasan perundangan; semua ini persekitaran yang membantu kepada pembasmian pencabulan hak asasi manusia.

Jika SPRM menekankan persoalan hak asasi manusia, atau mengintegrasikan segala tindakan mereka dengan hak asasi manusia, segala tindak dan gerak kerja SPRM akan lebih kukuh sebagai penguatkuasa anti-rasuah.

Selain itu, mengaplikasikan prinsip hak asasi manusia akan memastikan pegawai SPRM sendiri tidak melakukan kesalahan dan melanggar prinsip demokratik individu atau mana-mana suspek dan saksi, termasuklah berusaha melindungi mereka yang melaporkan kes rasuah (whistleblower).

Di negara-negara yang menjuarai indeks anti-rasuah ini, mereka memastikan setiap langkah pembasmian rasuah kelihatan dan dipraktikkan di peringkat komitmen, usaha, dan hasil. Pembasmian rasuah mereka juga diukur dengan indikator hak asasi manusia. Ini juga membolehkan aspek pemantauan gejala rasuah.

Sebagai contoh untuk memastikan majlis perbandaran tertentu bebas rasuah, pemantauan boleh melihat bagaimana kesetaraan dilaksanakan dalam hukuman denda terhadap pengubahsuaian rumah atau kediaman di taman perumahan. Jika di satu-satu kejiranan, orang kaya yang menyuap terlepas dari denda kerana melakukan pengubahsuaian rumah besar-besaran, berbanding orang biasa yang tiada kabel, ini bermakna berlaku ketidakdilan.

Dalam hak asasi manusia prinsip paling dominan ialah kesetaraan. Tanpa kesetaraan dalam undang-undang atau hukum di atas, jelaslah terdapat juga pencabulan hak asasi manusia berlaku.

Kes-kes pencabulan hak asasi manusia seperti kehilangan paksa yang melibatkan aktivis masyarakat dari kalangan minoriti seperti Amri Che Mat, Pastor Koh, dan Joshua Hilmy misalnya boleh berlaku kerana rasuah berleluasa yang mana hak dan nyawa individu tidak dipertimbangkan atau diabaikan.

Jika SPRM dapat mengkaji kelompongan antara agensi yang melibatkan kehilangan tokoh-tokoh masyarakat ini, mungkin kita akan menemukan di celah-celah itu terdapatnya korupsi. Inkuiri SUHAKAM ke atas kehilangan paksa ini wajar melibatkan SPRM.

Pendidikan masyarakat sangat penting di mana pemupukan nilai anti rasuah perlu berjalan seiring dengan kesedaran hak asasi manusia. Bagaimanapun di Malaysia, bukan sahaja tadika kita tidak menekankan takwa (hanya menekankan baca doa dan sembahyang) malah definisi takwa itu pula diperkenalkan sebagai takut kepada Tuhan, sedangkan takwa itu bermakna kewaspadaan dan integriti.

Dalam masa sama, jika masyarakat kita patuh hak asasi manusia, kita akan lebih selamat dan bebas rasuah seperti yang telah saya jelaskan di atas.

Malangnya mengkagetkan, negara ini belum ada kekuatan dan kenekadan untuk berubah. Selagi undang-undang anti-rasuah dan perlindungan saksi tidak dibaiki, maka selagi itulah kerja-kerja baik SPRM menerima herdikan masyarakat dan diganggu oleh pihak tertentu.

Padahal SPRM berusaha menyelamatkan negara ini dari jatuh ke kancah bala, pun, anggota masyarakat kita tidak nampak.

Memang, SPRM masih ada kelemahan akan tetapi dalam negara yang tiada governans baik, nilai dan status SPRM itu sentiasa dientengkan. Jika kita serius membasmi rasuah, dan menegakkan hak asasi manusia, sudah tentu SPRM diberi kedudukan lebih istimewa, dan lebih independen untuk bertindak. Masyarakat pula akan sentiasa membantu SPRM, dan bukan memperlekehkannya.

Bahkan jika kita ingin memperbaiki hak asasi manusia, yang perlu ditambah ialah jumlah anggota SPRM.

Moga-moga keadaan negara kita akan lebih baik. Kita ahli masyarakat dan pengundi mesti menentukan keberadaan negara ini di jalan takwa atau integriti. Bukan di jalan tembolok sendiri. Bawah pentadbiran hari ini nampaknya tidak banyak yang boleh diharapkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.