PETALING JAYA: Bermula esok, solat Jumaat dan fardu termasuk solat sunat Aidiladha akan dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kebenaran itu diberikan selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong serta mengikut pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismail berkata, seramai 300 jemaah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di Masjid Persekutuan.
“Bagi lapan masjid pusat zon, hanya 100 jemaah dibenarkan membabitkan enam masjid di ibu negara iaitu Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Kepong, Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Setapak, Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Maluri, Masjid Usamah Bin Zaid, Seksyen 2, Wangsa Maju, Masjid Al-Muaqarrabin, Bandar Tasek Selatan dan Masjid Ar-Rahman, Jalan Pantai Baru.
“Dua lagi masjid pusat zon ialah Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya dan Masjid Jamek An-Nur, Labuan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ajib berkata, bagi masjid kariah dan surau Jumaat, 50 jemaah dibenarkan manakala 40 jemaah dibenarkan di surau dengan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat.
Sementara itu, hanya 12 jemaah dibenarkan di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dia berkata, bagi solat fardu di kawasan PKP, seramai 100 jemaah dibenarkan mendirikan solat di Masjid Wilayah Persekutuan.
“Untuk lapan masjid pusat zon, seramai 50 jemaah dibenarkan dan bagi masjid kariah dan surau Jumaat, seramai 30 jemaah dibenarkan.
“Bilangan jemaah untuk solat fardu di surau yang dibenarkan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat pula adalah seramai 20 orang,” katanya.
Katanya, bilangan jemaah solat fardu di surau Jumaat PPR dan PA DBKL serta semua surau pula, seramai 12 orang dibenarkan.
Bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya, solat fardu dibenarkan terhad kepada tiga orang sahaja di semua masjid, surau Jumaat dan surau, manakala solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.