`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 12, 2021

Bolehkah Parti Kuasa Rakyat bersuara?

 

Kalau John Lennon masih ada, mendiang akan berusia 81 tahun pada Sabtu lalu 9 Okt. Kita tahu banyak lagu ciptaan Lennon yang mengukir kejayaan. Antaranya “Power to the People”.

Lagu itu dikeluarkan pada 1971, dan menurut Lennon, ia dicipta sama seperti lagu “Give Peace a Chance “ dicipta iaitu memberi “sesuatu yang boleh dinyanyikan oleh orang ramai”.

Ramai yang mengambil lagu itu sebagai inspirasi semasa menentang pihak berkuasa. Malah bertahun-tahun selepas ia dicipta, “Power to the People” digunakan Bernie Sanders pada 2016 dan 2021 sebagai lagu kempen dalam usaha menjadi calon Democrat pada pemilihan presiden AS.

Sebenarnya, cogan kata “Power to the People” ekspresi kebudayaan dan slogan politikal yang dilaungkan seawal 1960-an, jelas sebelum lagu Lennon dicipta.

Dengan lambang genggaman tangan, “Power to the People” diangkat sebagai laungan aktivis di AS yang anti-perang Vietnam. Juga oleh kumpulan Black Panthers yang melawan kelas pemerintah kaya yang menguasai masyarakat.

Di Afrika Selatan ia digunakan sebagai pembakar semangat menentang dasar apartheid. Malah di Pakistan slogan itu digunakan oleh People’s Party. Tentunya kita ingat di Filipina pada 1986, the People Power Revolution menumbangkan rejim Ferdinand Marcos.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher menyifatkan slogan itu laungan sosialis.

Apa pun, “Power to the People” dikaitkan dengan kebangkitan rakyat menentang pemerintah. Sesungguhnya kuasa rakyat besar kuasanya. Rakyat boleh mengguling kerajaan. Sama ada dengan cara ‘keras’ seperti demonstrasi atau pemberontakan seperti di Filipina, Mesir, dan Tunisia.

Juga menerusi cara aman seperti peralihan kuasa tanpa pertumpahan darah. Contoh terdekat buat kita ialah PRU14.

Tidak menghairankan banyak parti politik gemar mengambil istilah atau perkataan “rakyat” untuk dilekatkan kepada nama rasmi parti. Ini bagai memberitahu bahawa parti berkenaan berjuang untuk rakyat. Membela rakyat.

Logiknya, rakyat akan menyokong parti yang memperjuangkan nasib mereka. Lantas menyusuli sokongan ialah kejayaan di peti undi.

Pada Ahad 10 Okt, timbul Parti Kuasa Rakyat di negara ini. Ia menyifatkan dirinya sebagai parti berbilang kaum. Bagus tetapi kita sudah ada banyak parti berbilang kaum. Gerakan dan DAP umpamanya parti berbilang kaum walaupun kedua-duanya dianggotai majoriti orang Cina. Begitu juga PKR. Walaupun berbilang kaum ia didominasi orang Melayu.

Semua parti di Malaysia mendakwa berjuang untuk rakyat, termasuk parti yang bukan berbilang bangsa. Contohnya Umno, PAS, dan Bersatu yang mendakwa berjuang untuk Melayu dan Islam tetapi mengaku pembela semua rakyat. Oleh itu, apa bezanya Parti Kuasa Rakyat dengan parti sedia ada?

Yang jelas ia kelihatan sosialis. Kata Parti Kuasa Rakyat, mereka parti untuk marhaen. Maknanya khusus untuk golongan orang bawahan. Takrif lazim ialah rakyat jelata seperti petani dan nelayan. Istilah “marhaen” diperkenalkan presiden pertama Indonesia, Soekarno.

Di Malaysia mungkin takrif kerap ialah “rakyat biasa’”. Oleh itu Parti Kuasa Rakyat memperjuangkan hanya nasib rakyat biasa. Rakyat “luar biasa” bagaimana? Maksudnya rakyat kelas pertengahan dan golongan berada yang juga rakyat dan perlu pembelaan walaupun tuntutan berbeza.

Yang menarik perhatian, Parti Kuasa Rakyat ini pengasasnya ialah Kamarazaman Yaakob – abang kepada Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri baharu yang dilantik Ogos lalu.

Sekaligus, persepsi umum ialah parti ini akan mendapat layanan istimewa. Sama ada benar atau tidak, itu persepsinya.

MUDA yang diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih belum diluluskan pendaftarannya. Ahli Parlimen bebas bagi kawasan Muar itu dan rakan-rakan terpaksa turun naik mahkamah dalam usaha mendapat pendaftaran.

Pejuang oleh Dr Mahathir Mohamad juga berhempas pulas ke mahkamah sebelum dapat didaftarkan.

Oleh itu, jika pendaftaran Parti Kuasa Rakyat diluluskan Pendaftar Pertubuhan pada kadar cepat, tidak dapat elak tuduhan akan dilemparkan ia dilayan baik kerana adik pengasasnya Perdana Menteri, meskipun jika kelulusan diberi berdasarkan semua kriteria dan tuntutan “dipenuhi”.

Suka atau tidak, beban “tuduhan” itu terpaksa dipikul Kamarazaman untuk jangka masa panjang.

Beliau juga tentu merasakan diri menjadi mangsa tuduhan kononnya menubuhkan parti sebahagian konspirasi politik untuk membantu adiknya. Pengumuman beliau bahawa partinya menyokong kerajaan merancakkan dakwaan. Kononnya, partinya wujud untuk pecah undi pada pilihan raya umum demi keuntungan parti pemerintah, khususnya Umno.

Namun bagi Zaid Ibrahim, bekas menteri undang-undang , Kamarazaman tidak perlu gusar “tentang apa orang lain cakap”. Jika beliau benar mahu membuat penjajaran politik nasional supaya dasar kerajaan lebih mesra terhadap kelas pekerja, sokongan patut diberi.

Menurut Zaid, tidak ada salahnya Kamarazaman mempunyai adik yang merupakan Perdana Menteri.

Apa pun yang jelas ialah, berbeza dengan objektif “power to the people” yang lazim, tidak ada siapa yang ingin ditumbangkan oleh Parti Kuasa Rakyat kerana awal-awal lagi ia sudah menyatakan sokongan untuk parti memerintah.

Oleh itu, persoalannya adakah Parti Kuasa Rakyat, khususnya Kamarazaman sendiri, akan menegur dan mengkritik jika ada dasar kerajaan yang tidak membawa manfaat kepada golongan marhaen?

Zaid mengutarakan beberapa persoalan penting. Antaranya bagaimana Kamarazaman akan menangani isu-isu “toksik”, terutama bersabit soal hak dan keistimewaan supaya golongan marhaen mendapat keadilan tanpa mengira bangsa dan agama.

Kamarazaman turut ditanya sama ada beliau akan memperjuangkan masalah pendaftaran MUDA jika partinya didaftar mudah dan cepat.

Cukup setakat itu, meskipun banyak lagi persoalan yang boleh diajukan jika parti beliau mahu “membetulkan” keadaan negara.

Bercakap mengenai Kamarazaman, perlu dinyatakan beliau mempunyai rekod warna warni dalam arena politik. Beliau pernah menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia dan Parti Melayu Semangat 46.

Beliau juga aktivis mahasiswa semasa belajar di Universiti Malaya dan mengambil bahagian dalam demonstrasi pelajar 1974 yang memperjuangkan isu kemiskinan di Baling. Tunjuk perasaan itu kita tahu diketuai Anwar Ibrahim, yang menurut Zaid, penggerak utama “parti untuk orang miskin”.

Kamarazaman, seperti Anwar, pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana pembabitan dalam demonstrasi pelajar dahulu.

Ertinya, beliau pernah berdiri atas platform sama dengan Anwar. Tidak dapat dipastikan sama ada ketika itu beliau “menyanjungi”Anwar, dan jika ya, sama ada masih “menyanjungi” Anwar sekarang.

Diakui Parti Kuasa Rakyat nama yang hebat. Teringat saya zaman Hindraf dahulu dengan laungannya – Makkal Sakti yang juga bermaksud kuasa rakyat. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.