`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 12, 2021

Norhizam janji pulangkan kenderaan rasmi

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Kamel Mohamad tidak perlu cuba ‘menakut-nakutkan’ untuk mengambil tindakan undang-undang, menurut Norhizam Hassan Baktee. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas Exco Melaka Norhizam Hassan Baktee berjanji memulangkan kenderaan rasmi kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) secepat mungkin selepas dua lagi bekas Exco, Idris Haron dan Noor Effandi Ahmad dilaporkan melakukan perkara sama beberapa hari lalu.

Norhizam berkata beliau akan memulangkan kenderaan itu sama ada hari ini atau esok selepas menyelesaikan beberapa perkara terlebih dulu.

“Saya tidak mahu kereta itu kerana saya pun ada kereta tetapi saya tidak puas hati kenapa exco lain masih dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi sedangkan kerajaan negeri sudah tiada?

“Selama ini, saya simpan kereta itu kerana saya marah hanya saya dan Datuk Seri Idris Haron serta Datuk Noor Effandi Ahmad yang diarahkan memulangkan kereta sedangkan exco lain bebas ke hulu ke hilir dengan kereta rasmi,” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut laporan Harian Metro.

Selain itu, Norhizam berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Kamel Mohamad tidak perlu cuba ‘menakut-nakutkan’ beliau dan dua bekas exco lain untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mendedahkan rahsia Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu itu berkata, beliau, Idris dan Noor Effandi tidak mendedahkan rahsia itu, sebaliknya mempersoalkan pembentukan kerajaan sementara (caretaker) Barisan Nasional (BN) yang didakwanya tidak sah.

“Jangan cubalah untuk menakut-nakutkan kami, jangan fikir kami tidak tahu membezakan antara rahsia MMKN dengan soal dasar.

“Kami tidak pernah mendedahkan rahsia MMKN kerana tahu kami sudah mengangkat sumpah menyimpan rahsia MMKN,” katanya.

Katanya, beliau akan terus mengeluarkan kenyataan mengenai kerajaan sementara dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu yang didakwanya dilakukan secara tidak mematuhi undang-undang.

Semalam, Kamel dilaporkan menafikan dakwaan Idris, kononnya terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan MMKN.

Sebaliknya, beliau menegaskan, semua keputusan dalam mesyuarat berkenaan dibuat secara bersama dan tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga.

Kamel berkata, setiap ahli MMKN sudah mengangkat sumpah kerahsiaan dan kerajaan negeri sedang meneliti sama ada sumpah itu dilanggar sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.