Kalau menteri tak “perform” macam mana?
Bukan saya seorang yang tanya. Ramai lagi yang nak tahu jika menteri tidak capai prestasi baik dalam jangka waktu 100 hari daripada tarikh mereka dilantik, apa tindakan akan diambil Ismail Sabri Yaakob ke atas mereka?
Kali pertama persoalan itu timbul 27 Ogos lalu ketika Perdana Menteri mengumumkan senarai Jemaah Menteri dan anggota pentadbirannya, membabitkan 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri.
Beberapa hari lalu timbul lagi apabila Ismail memberitahu menerusi satu kenyataan bahawa setiap ahli Jemaah Menteri sudah diarah membentang kepada rakyat “Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100” masing-masing bagi penilaian prestasi mereka dan kementerian yang mereka terajui.
Pada 2 Oktober, Perdana Menteri dipetik media mengulas lanjut. Kata beliau, pandangan menerusi sosial media akan digunakan untuk menghitung skor prestasi keseluruhan menteri selama 100 hari pertama perkhidmatan mereka.
Menurut Ismail, ada beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklum balas serta analisis sentimen. Persepsi rakyat terhadap menteri dan kaji selidik profesional antaranya.
“Keseluruhannya saya akan buat skor seperti mana kad laporan sekolah dilakukan. Itu satu cara. Kita ada jawatankuasa…sebilangan markah datang daripada rakyat tetapi berapa peratusannya kita belum tetapkan,” beliau dipetik berkata pada wawancara khas dengan beberapa pengarang kanan media tempatan.
Apapun, maknanya rakyat boleh teliti prestasi menteri dan menilai sama ada menteri mencapai standard (yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri) dan membuat keputusan adakah menteri memberi prestasi baik selama 100 hari mereka jadi menteri.
Ini langkah bagus kerana ia memberi nilai kepada penilaian. “The rakyat’s assessment matters” nampaknya.
Kata Ismail, beliau melakukan ini bukan sebagai satu bentuk hukuman. Sebaliknya mahu memastikan menteri menjalankan tugas dengan baik.
Baiklah. Namun perlu ditanya lagi jika ada dalam kalangan menteri yang prestasinya tidak memuaskan atau terus terang tidak baik, apa tindakan Ismail ke atas mereka? Ismail mengaku beliau ada ditanya adakah menteri yang akan disingkir.
Apa jawapan beliau? “Saya harap tidak ada yang akan menghadapi tindakan. Sasaran 100 hari bukan untuk menghukum. Saya hanya mahu mereka memberi prestasi baik, tidak lebih daripada itu. Apabila 100 hari berlalu akan ada pula pelan jangka pertengahan dan jangka panjang,” kata Ismail.
Bagi saya, berkata “harap tidak ada siapa yang akan menghadapi tindakan” tidak menjawab soalan pokok iaitu – ada atau tidak tindakan akan diambil?
Jika untuk sekadar merangka pelan jangka pertengahan dan jangka panjang, apa perlunya meminta rakyat memberi komen, ulasan, pandangan, dan penilaian terhadap prestasi menteri?
Adakah ini bermakna semua menteri – yang prestasi baik mahupun yang tidak berprestasi baik akan kekal? Malah yang tidak “perform” akan diberi peluang kedua untuk terus jadi menteri pada masa pelan pertengahan dan jangka panjang?
Saya faham Perdana Menteri tidak mahu atau tidak boleh mengumumkan kepada khalayak siapa yang tidak berprestasi baik dan apa bentuk tindakan diambil. Itu pun, jika ada tindakan diambil.
Ini sesuai dengan budaya orang Timur tidak mahu mengaibkan sesiapa. Namun berdasarkan apa yang dikatakan beliau setakat ini, saya tidak dapat elak daripada bertanya tidakkah ini semua bermaksud meminta maklum balas rakyat sesuatu yang sia-sia?
Tidak ada ertinya sekadar meminta rakyat menilai tetapi penilaian itu tidak membawa perubahan. Dalam erti kata lain, penilaian negatif terhadap menteri yang diberi tidak diambil peduli.
Bukan niat saya untuk mendahului keadaan sebelum tempoh 100 hari berlalu. Bukan mahu “preempt”. Cuma jika diizin membuat penilaian, ramai anggota Jemaah Menteri Ismail tidak akan mendapat “rating” tinggi daripada saya.
Saya tidak akan menyebut nama (seperti Ismail saya juga orang Timur yang tidak mahu aibkan sesiapa. Sehingga kini). Cukup sekadar berkata rata-rata menteri pada hemat saya tidak menunjukkan prestasi menyakinkan. Khususnya ketika negara masih bergelut dengan krisis kesihatan dan ekonomi.
Diakui memang ada langkah dan tindakan yang baik. Namun saya bercakap pada konteks keseluruhan. Keseluruhannya, seperti dikatakan tadi, tidak menyakinkan .
Diakui juga, bukan senang menyelenggara dan mentadbir negara pada waktu pandemik ini . Meskipun demikian pada pandangan saya si rakyat marhaen – ada menteri yang keberkesanannya tidak dirasai. Ada yang membuat kenyataan dan gelagat bagai lawak yang menyedihkan. Ada menteri yang kewujudannya tidak kelihatan langsung.
Jika saya diminta (tetapi saya tahu tidak ada siapa yang minta pun) membuat “rating” jujur, saya katakan akan saya catat C atau D, jika tidak F.
Mungkin dalam ramai-ramai menteri yang ada, ada kalangan pihak memuji prestasi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin secara am. Tetapi Khairy juga tercalar juga akibat insiden suntikan angin (bukan vaksin) ke atas orang yang menaruh harapan untuk divaksin untuk memerangi Covid-19.
Beberapa masalah besar yang menyulitkan rakyat menerusi aplikasi MySejahtera yang beliau beri tempoh satu minggu untuk diatasi masih wujud walaupun berminggu minggu sudah berlalu sejak amaran keras beliau suarakan.
Bagaimana pula prestasi Ismail sendiri selaku Perdana Menteri? Pada sesi dengan pengarang kanan media tempoh hari beliau ditanya sama ada beliau turut menetapkan sasaran pencapaian 100 hari?
Sambil senyum Ismail berkata, “tentu sahaja ada sasaran untuk saya. Tunggu pengumuman saya apabila membuat perutusan kepada negara kelak. Tunggu 10 Disember.”
Tarikh itu ialah hari ke 100 kerajaannya memerintah negara. Untuk rekod pentadbiran Ismail dikira bermula 1 Sept lalu iaitu hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung.
Namun tanpa menunggu 10 Disember saya nyatakan pada pandangan saya kerajaan beliau sehingga kini tidak memberangsangkan.
Rancangan Malaysia ke-12 yang diumum dan syarat ekuiti 51% Bumiputera pada syarikat penghantaran dianggap tidak selari dengan konsep Keluarga Malaysia anjuran beliau. Ia merenggang, bukan merapat, hubungan rakyat berbilang kaum.
Ismail juga dilihat mengulangi “dasar” atau amalan pentadbiran Muhyiddin Yassin yang mendapat jolokan “kerajaan gagal”. Ramai menteri Kabinet Muhyiddin dipilih Ismail untuk duduk dalam Kabinetnya.
Seperti Muhyiddin, beliau juga mengamalkan “dasar menampung” atau “accommodating policy” untuk mengambil hati atau lebih tepat lagi meraih sokongan semua sekutunya.
Sedikit kelebihan, tidak seperti Muhyiddin, beliau berjaya mengadakan “perjanjian damai” dengan Pakatan Harapan walau ia MoU yang tidak mengikat.
Ismail mengekalkan ketiga-tiga duta khas yang dahulunya dilantik Muhyiddin. Oh ya. Bercakap mengenai duta khas adakah mereka turut tertakluk dengan penilaian 100 hari? Jangan lupa, mereka berstatus menteri.
Bagi saya pelantikan Abdul Hadi Awang sebagai duta khas Timur Tengah, Tiong King Sing ke China mahu pun Richard Riot sebagai duta khas Asia Timur sejak awal tidak perlu kerana negara sudah ada duta biasa yang melaksanakan tugas dengan baik di negara-negara berkenaan.
Apa pun “deadline” 100 hari masih jauh . Bagaimanapun bak kata Inggeris, “the clock is ticking”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.