`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, October 19, 2021

Minus Four Degrees: Ibu, anak tekad bentuk industri seni pembuatan aiskrim Malaysia

 

Sarah Tan dan ibunya, Kim Ngoh, adalah wanita di belakang Minus Four Degrees, sensasi aiskrim terbaharu PJ. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

PETALING JAYA: Memulakan perniagaan untuk pertama kalinya bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi ia membabitkan banyak risiko untuk menjayakannya.

Mempunyai seseorang yang dapat anda percaya dan boleh diharapkan dalam membantu menjalankan perniagaan cukup membantu, tetapi tidak semua orang sebegitu bertuah.

Bagi profesional masakan berusia 30 tahun, Sarah Tan, ternyata ibunya lebih tahu apa yang terbaik, selepas ia terbukti dengan keputusan Tan memulakan perniagaannya bersama ibu tersayang, Kim Ngoh, 60.

Jadi perniagaan apakah yang dijalankan oleh dua beranak ini? Sebagai petunjuk: ia lembut, manis dan membantu mengurangkan kepanasan.

Minus Four Degrees adalah pendatang baru dalam gelanggang seni aiskrim yang sedang berkembang pesat dan berakar umbi di Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Dengan ruang kedai yang terletak di syurga makanan Seksyen 17, Petaling Jaya, Minus Four Degrees bersiap sedia untuk mengubah cara orang Malaysia melihat ais krim.

Tidak seperti yang biasa dijual di stesen minyak dan pasar raya, Minus Four Degrees menghasilkan aiskrim yang lembut dan enak.

Selain itu, Tan cukup mengutamakan perisa aiskrim yang seasli mungkin, dan tidak menggunakan pewarna dan perasa tiruan.

Tan mendapat inspirasi untuk menjual aiskrim setelah menerima maklum balas positif mengenai ais krim buatan sendiri. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Tetapi apa yang mendorong Tan menyelami dunia seni pembuatan ais krim? Ternyata, jawapannya sama sekali tidak rumit.

Kira-kira empat tahun lalu, Tan adalah seorang pelajar universiti yang mempelajari seni kulinari dan kebetulan membeli mesin pembuat ais krim.

“Kami menceburi bidang ini secara kebetulan. Saya membuat ais krim di rumah dengan mesin pembuat aiskrim saya sendiri dan rakan saya bertanya, adakah saya merancang untuk menjualnya?” kata Tan kepada FMT.

Sering dihujani permintaan rakan-rakan yang memintanya menjual ais krim kepada mereka, dia akhirnya akur dan tidak lama kemudian ia mula tersebar dari mulut ke mulut.

Tidak lama kemudian, Tan memulakan perniagaan dari rumah yang berkembang pesat sehingga mendapat perhatian ramai dan membolehkannya membuka kedai ais krimnya sendiri pada bulan November 2020.

Dia mengaitkan kejayaan perniagaannya dengan bantuan ibunya yang tidak ternilai, wanita yang berpengalaman dalam selok-belok perniagaan.

“Saya sebenarnya sudah bersara,” kata Ngoh.

“Ketika Sarah mula membuat ais krim, saya hanya membantu dan merasakan perisa yang dihasilkannya enak dan mempunyai pasaran.”

Ketika Tan sibuk membuat aiskrim, Ngoh fokus dalam menjalankan perniagaan itu sendiri. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Walaupun kedua-dua wanita itu bekerja bersama, mereka mempunyai tugas masing-masing, di mana Tan sibuk membuat ais krim di dapur, sementara Ngoh mengendalikan kaunter dan kedai di media sosial.

Adakah mereka serasi bersama? “Ia adalah pertembungan generasi!” kata Ngoh bergurau sambil menambah walaupun memiliki pemikiran berbeza, mereka “saling melengkapi”.

Sekiranya mereka berselisih pendapat, kedua-dua ibu dan anak itu akan berhenti seketika, merenung kembali isu berbangkit sebelum menanganinya bersama-sama.

Lebih penting lagi, apa juga perselisihan mengenai perniagaan yang berbangkit, mereka memilih untuk tidak membawanya pulang kerana kehidupan berkeluarga perlu dipisahkan dari kerjaya.

Pada amnya, Tan cukup berpuas hati menyerahkan keputusan perniagaan kepada ibunya, yang dipercayainya sepenuh hati, sementara dia terus memastikan kualiti ais krimnya terjaga.

Bercakap mengenai aiskrim, apa sebenarnya yang menjadikan Minus Four Degree unik? “Kami lebih berfokus kepada kualiti,” kata Tan.

“Saya biasa bekerja di restoran-restoran mewah, jadi saya menetapkan standard kualiti yang tinggi.”

Minus Four Degrees menawarkan pelbagai jenis aiskrim, beberapa rasa agak konvensional seperti coklat dan vanila, selain perisa yang agak jarang ditemui.

Walaupun turut menghasilkan aiskrim berperisa klasik, Tan gemar bereksperimen dengan pelbagai bahan dari masa ke semasa. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Dalam hal ini, aiskrim beralkohol di kedai ais krim ini cukup popular, di mana perisa Rum & Kismis antara yang paling laris.

Ngoh dengan bangga menyatakan bahawa anak perempuannya mahir dalam menggandingkan perisa paling liar dan entah bagaimana hasilnya sering mengagumkan.

“Kami turut menawarkan Sos Ikan Pedas dengan rasa Longan!” tambah Tan.

Perisa pelik lain yang turut ditawarkan Minus Four Degrees adalah Raspberry dengan Katsuobushi, Wasabi dan Salmon Salai.

Walaupun kebanyakan orang mengharapkan ais krim mereka terasa manis, Tan nampaknya lebih cenderung kepada ais krim yang enak.

“Saya suka sesuatu yang masin,” akur Tan secara terang-terangan.

“Tetapi bagi saya, keseimbangan antara rasa lemak berkrim dan manis adalah kunci yang menjadikan aiskrim itu bagus.”

Buat masa ini, anda mungkin tertarik dengan rasa luar biasa ini, pilihan aiskrim cenderung diubah secara berkala, jadi apa yang anda lihat minggu ini mungkin tiada lagi pada minggu berikutnya.

Walaupun kualiti adalah perkara yang paling penting bagi Tan, dia merasa sukar untuk menyeimbangkan keperluan menjaga kualiti ais krimnya sambil memastikan ia setimpal dengan keuntungan yang diperoleh.

Apa yang paling ketara, semua aiskrim yang anda lihat di ruang Minus Four Degrees dibuat oleh Tan, sehingga ke peringkat mengekstrak sendiri jus buah-buahan yang diperlukan untuk aiskrim berperisa buahnya.

Kedai aiskrim Minus Four Degrees di Seksyen 17 Petaling Jaya adalah tempat yang tepat untuk bertemu dengan rakan-rakan. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Walaupun membuat ais krim boleh menjadi tugas yang melelahkan, ia masih perkara terbaik bagi Tan, yang lebih suka mencuba pelbagai kombinasi perisa dan menilai apa yang sesuai.

“Perkara paling menyeronokkan tentang pekerjaannya adalah bermain dengan ramuan yang berbeza,” kata Ngoh sambil Tan mencelah, “Dan saya dapat melakukan sesuatu yang baru.”

Semua orang dapat mencuba perisa percubaannya kerana Tan akan meninggalkan sejumlah besar ais krim tersebut di ruang pameran untuk melihat bagaimana reaksi pelanggan terhadapnya.

Walaupun pandemik Covid-19 dan perintah sekatan menyukarkan semua pihak, Minus Four Degree berjaya menyelamatkan diri tanpa terjejas, sesuatu yang sangat melegakan Tan dan Ngoh.

“Kami terlibat dengan penghantaran sejak awal lagi, jadi ketika Covid-19 melanda, penghantaran sebenarnya meningkat,” kata Ngoh. “Ia menyelamatkan kami.”

Buat masa ini, hanya penduduk di Lembah Klang dapat mencuba pemanis mulut yang lazat dari Minus Four Degrees.

Tan berharap, suatu masa nanti, Minus Four Degree boleh dinikmati dan berada di seluruh pelosok negeri.

Teringinkan ais krim? Pesan sekarang dengan mengklik disini atau lawati Minus Four Degrees di Instagram atau Facebook.

= FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.