`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 12, 2021

MKMA63 bincang lebih mendalam isu keselamatan di Sabah, Sarawak

 

Maximus Ongkili (dua dari kanan) dan Hamzah Zainudin (kanan) menyertai mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan di Kuala Lumpur hari ini.

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili berkata, isu keselamatan di Sabah dan Sarawak akan dibincangkan secara mendalam di bawah Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) demi memastikan sempadan negara terjamin.

Katanya, isu berkaitan hak dan perlindungan Sabah serta Sarawak akan dibincangkan lebih mendalam menerusi empat jawatankuasa kerja MKMA63, termasuk keselamatan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kerja Keselamatan di bawah MKMA63 turut membincangkan isu kewarganegaraan Orang Asal dari Sabah dan Sarawak yang belum memiliki dokumen.

“Sebelum ini, di bawah pemerintahan Pakatan Harapan, Jawatankuasa Khas Kabinet untuk mengkaji pelaksanaan MA63 (JKKKMA63) hanya menumpukan isu-isu hak, perlindungan dan aspek undang-undang lain MA63.

“Ketika di bawah kerajaan Perikatan Nasional, bidang kuasa MKMA63 merangkumi semua, meliputi hak dan perlindungan undang-undang, komitmen dan syarat undang-undang kewangan, keselamatan dan kawalan sempadan Sabah serta Sarawak, pendatang tanpa izin, imigrasi haram dan pencerobohan asing serta pembangunan sosioekonomi.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan bersama Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin di ibu negara hari ini.

Ongkili yang juga Presiden PBS berkata, hasil dan ketetapan empat jawatankuasa kerja itu akan dibentangkan dalam mesyuarat MKMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 14 Okt ini, yang bakal dihadiri Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor serta Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.