`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 9, 2022

116 calon SPM di Melaka dijangkiti Covid-19, duduki peperiksaan semula Apr

 

Kumpulan pelajar itu tidak dapat menduduki ujian lisan, mendengar dan bertutur Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Amali Sains (Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan) bermula 8 hingga 24 Feb ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sejumlah 116 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Melaka tidak dapat menduduki peperiksaan itu bermula semalam selepas disahkan positif Covid-19 dan terpaksa menjalani kuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Rais Yasin bersimpati dengan nasib pelajar terbabit yang dijangka menduduki peperiksaan itu semula April nanti.

Beliau berkata, semua pelajar terbabit tidak dapat menduduki ujian lisan, mendengar dan bertutur Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Amali Sains (Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan) bermula 8 hingga 24 Feb ini.

“Insya Allah jika tiada aral melintang, mereka akan ambil ujian lisan SPM pada April nanti,” katanya menurut laporan Berita Harian sambil memaklumkan terdapat 13,134 calon SPM 2021 di Melaka.

Ditanya kemungkinan sekolah di Melaka akan ditutup akibat peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah, Rais berkata, keadaan adalah terkawal.

Berdasarkan data terkini, katanya, kluster pendidikan hanya berbaki 50 pelajar yang masih positif Covid-19 dan 206 orang masih dikuarantin.

“Jumlah murid positif yang sembuh pula seramai 179 orang, manakala murid yang dipotong gelang selepas selesai kuarantin seramai 690 orang. Keputusan menutup sekolah ini bukan di bawah kuasa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Sebaliknya, penilaian dibuat secara berperingkat bermula dari Pejabat Kesihatan Daerah hingga Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum perbincangan dengan JPN.

“Alhamdulillah tiada sekolah ditutup, cuma murid asrama yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina kekal di rumah dan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ini bermakna sekolah masih beroperasi.”

Mengulas dakwaan penguat kuasa kesihatan dihalang memeriksa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan JPN sentiasa memberi kerjasama penuh.

“Jika perlu diadakan pemeriksaan di sekolah, permohonan itu mesti daripada pihak berwajib dan saya jamin JPN akan beri kerjasama.

“Setakat ini, saya tidak menerima sebarang aduan penguat kuasa kesihatan dilarang masuk,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.