`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 19, 2022

‘Asas ketinggalan, ni nak tambah insurans, takaful’, ibu bapa keluh silibus matematik Tahun 6

 

Ura-ura silibus baharu dalam subjek matematik mengundang kritikan dan bantahan ibu bapa serta golongan pendidik.

GOMBAK: Kalangan warganet termasuk guru meluahkan rasa marah dan kecewa susulan spekulasi bertebaran murid darjah enam diwajibkan belajar mengenai insurans dan takaful apabila sesi persekolahan bermula Mac ini.

“Sebab silibus ‘advance’ macam inilah, anak saya tak suka subjek matematik,” kata Dolorence M Pius di Facebook, mengulas perkongsian beberapa pihak menguar-uarkan insurans dan takaful topik baharu dalam silibus mata pelajaran matematik Tahun 6.

“Lepas darjah 6 boleh kerja jadi ejen takaful, tambah pendapatan mak ayah. Parah dah silibus sekarang ini,” kata warganet, Anita Abdul Ghani.

Manakala SH Rosniza berkata “walaupun saya ejen takaful tapi topik ini tak sepatutnya diperkenalkan di Tahun 6.”

Rosli Hashim pula menulis “harapnya…nanti anak saya dah pandai main saham. Senang, tak payah saya bagi duit belanja tiap minggu.”

“Saya sebagai guru matematik pun dah tak tahu nak kata apa,” kata seorang lagi.

Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) berkata, isu itu menjadi kebimbangan terbaharu kalangan ibu bapa yang cemas anak semakin dibeban dengan sukatan pelajaran tambahan pada usia terlalu muda.

“Sebelum kita nak memaksa anak-anak menuju arah lebih tinggi, perlu (kita) lihat dahulu asas-asas seperti tambah, darab dan sebagainya yang kita ketinggalan, (ini pula) nak tambah pula dengan insurans dan takaful,” kata Presiden PEPIAS, Muhammad Zakir Abdul Razak.

“Saya fikir kita ini terlalu nak kejar benda yang tidak pasti. Macam kita nak ajar anak ikan panjat pokok. Anak ikan sepatutnya kita ajar berenang dan ‘survival’ dalam air,” beliau memberitahu FMT.

Tinjauan FMT mendapati beberapa pihak berbincang di media sosial mengenai desas-desus pengajaran insurans dan takaful menerusi mata pelajaran matematik Tahun 6.

Menurut muatan laman sosial yang dikongsi oleh guru-guru tertentu, pelajar Tahun 6 akan diberi pendedahan mengenai tujuan dan kepentingan perlindungan insurans dan takaful menerusi subjek matematik.

Ia bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar berumur 12 tahun bahawa insurans dan takaful bertujuan melindungi aset dan pencarum, menurut pautan Facebook seorang pendidik.

FMT telah menghubungi Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan pengesahan namun tidak mendapat respons setakat ini.

Muhammad Zakir Abdul Razak.

Zakir mendesak KPM memberikan penjelasan segera untuk menjawab kebimbangan pelbagai pihak.

“Orang yang bertanggungjawab terhadap isu ini perlu respons. Kalau tak sahih, dia (KPM) kena sahkan bahawa silibus ini tak akan ada. Jadi kita sebagai ibu bapa serta pelajar akan lega dengan isu ini,” katanya.

Zakir berkata, KPM sepatutnya menumpukan usaha mengisi “kehilangan pembelajaran” selama tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), bukannya menambah silibus baharu, yang tinggi arasnya dan tidak sesuai untuk pelajar sekolah rendah.

“Topik insurans, takaful ini suatu beban yang tak munasabah kepada pelajar waktu sekarang, ditambah pula kita ada waktu pandemik yang sangat lopong ini. Saya fikir ‘vakum’ yang kosong ini perlu ada pelan tindakan khas sebelum kita tambahkan beban dengan topik yang baharu,” katanya.

Malah, katanya, KPM yang diterajui Radzi Jidin, masih belum mengemukakan pelan pemulihan pasca Covid-19 untuk memastikan pencapaian akademik pelajar tidak terjejas setelah sekolah ditutup sekian lama.

“Saya menunggu pelan tindakan daripada KPM. Saya percaya KPM mahukan yang terbaik untuk pelajar kita, tapi kena ingat ada isu yang lebih penting dan lebih parah yang perlu kita tekankan sebelum kita nak pergi ke arah yang lebih tinggi. Berapa banyak diskusi yang meminta KPM lebih ke hadapan berbicara tentang pelan tindakan (pasca Covid-19) dan jayakan pelan itu.

Zakir bertegas isu tambahan silibus harus diperjuangkan oleh semua pihak berkepentingan seperti pelajar, guru, dan PIBG sekolah untuk mendesak KPM tidak membebankan lagi pelajar dengan sukatan pelajaran rumit dan tidak relevan.

“Kita membazir masa dan tenaga. Saya fikir guru-guru sedia ada tak terlatih pun dengan topik insurans, takaful. Kita akan kehilangan masa untuk (mengajar) perkara asas seperti tambah, darab dan sebagainya sebab kita ada tambahan (topik) pula nak kena fikir (dan) guru pula terpaksa belajar (topik) insurans, takaful,” katanya.

Zakir tidak menolak kemungkinan industri tertentu cuba menggunakan KPM sebagai saluran memperkenalkan topik pembelajaran yang boleh membawa keuntungan komersial di masa kelak.

“Kalaulah insurans, takaful ini dibawa ke sekolah, sudah tentu ia membuka peluang kepada syarikat insurans untuk mencari pelanggan (di masa depan). Bukan saya kata insurans tak bagus, malah saya sendiri ada insurans, tetapi semua orang seolah berniaga dengan pendidikan. Kita perjuang pendidikan percuma tiba-tiba ia jadi untuk langganan dan sebagainya (di masa depan),” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.