Ingat lagikan 8 Februari lalu Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Majlis Pemulihan Negara atau MPN mengumumkan sempadan Malaysia dijangka atau boleh dibuka semula sepenuhnya seawal 1 Mac tanpa keperluan kuarantin? Berita gembira tu.
Keesokan harinya salah satu laporan FMT mengenai PRN Johor yang akan diadakan memetik penganalisis politik berkata persoalan sama ada sempadan Johor-Singapura akan dibuka sepenuhnya antara isu utama pada pilihan raya kali ini.
Dalam lain perkataan, pembukaan sempadan (di samping kenaikan harga makanan) isu penting untuk pengundi Johor.
Maka kenyataan Muhyiddin 8 Februari lalu ada kaitan dengan PRN Johor? Adakah beliau berkempen? Walaupun Muhyiddin tidak bertanding, Bersatu pimpinannya akan bertarung pada pilihan raya ini. Kita tahu beliau orang Johor, atau bak kata sesetengah pihak, Bangsa Johor. Pencapaian Bersatu pada PRN Johor ini mempunyai kesan mendalam buat karier politik beliau.
Tetapi kalau pun sempadan dibuka (satu tindakan popular) yang akan buka ialah kerajaan pusat. Ertinya yang mendapat markah politik ialah kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob – orang Umno. Yang akan dipuji ialah Umno bukan Bersatu. Lalu apa perlunya Muhyidin menggunakan isu buka sempadan sebagai modal kempen? Jika benar beliau berniat berkempenlah.
Apa pun, pada Jumaat 18 Februari iaitu 10 hari selepas membuat kenyataannya itu, Muhyiddin dilapor berkata cadangan MPN mengenai pembukaan semula sempadan negara itu dibuat “hasil persetujuan bersama, bukannya keputusan sendiri”.
Maknanya keputusan (untuk mengesyorkan kepada kerajaan) itu dipersetujui secara bersama oleh ahli majlis berkenaan pada mesyuarat MPN yang Muhyiddin pengerusikan baru-baru ini.
Tidak dapat dipastikan mengapa atau apa perlunya Muhyiddin tampil dengan penjelasannya itu. Beliau pun tidak memberitahu sebabnya.
Yang nyata ialah ketika Muhyiddin berucap pada satu Majlis Resepsi Tahun Baru Cina Perikatan Nasional di Pontian, beliau dipetik berkata, “Please PM, MPN sudah cadang dan saya bukan buat keputusan pandai-pandai. Dalam mesyuarat ada Menteri Kesihatan, (ditanya) kena kuarantin wajib? Beliau kata tak payah. Ada Jabatan Imigresen, (ditanya) bila boleh buka? Boleh buka 1 Mac.
“Maka kita buat keputusan atas nama MPN supaya kerajaan boleh ambil tindakan segera buka sempadan.”
Majlis seperti yang di mana Muhyiddin berucap lazimnya dikaitkan dengan “kempen” politik apabila ia diadakan menjelang apa-apa pilihan raya.
Adakah kata-kata Muhyiddin di majlis itu untuk memberitahu khalayak MPN (baca beliau) sudah “melakukan yang terbaik” yakni dengan mempersembahkan cadangan yang dibuat rapi dan teliti kepada kerajaan tetapi kerajaan pusat tidak (atau belum atau lambat) mengambil langkah wajar?
Muhyiddin kita tahu sejak kebelakangan ini berada dalam “mode” menyerang. Lihat sahaja serangannya ke atas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Presiden Umno, Najib Razak, terutamanya beberapa hari lalu (mengenai fail bertimbun-timbun antaranya). Keras, pedih, dan menyengat.
Perlu diingat Perdana Menteri Ismail ada berkata 11 Februari lalu cadangan MPN untuk membuka kembali sempadan negara seawal 1 Mac ini belum dibincangkan di peringkat Kabinet.
Kenyataan Ismail dibuat selepas Menteri Kanan (Pertahanan) Hishammuddin Hussein (juga orang umno dan Bangsa Johor) mengeluarkan reaksi terhadap cadangan MPN.
Sebaik sahaja Muhyiddin mengumumkan cadangan MPN, Hishammuddin berkata cadangan untuk sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac mesti dikaji oleh “semua kementerian dan jabatan yang relevan”. Ini tentunya termasuk Kementerian Kesihatan.
Tetapi yang aneh ialah bak kata Muhyiddin, “feedback“ Kementerian Kesihatan sudah diambil kira apabila cadangan MPN diutarakan. Malah ketika Muhyiddin mengumumkan cadangannya itu, Khairy Jamaluddin Menteri Kesihatan dikatakan hadir pada sidang media itu.
Menurut laporan, selain Menteri Kesihatan, lain menteri yang duduk dalam MPN termasuk Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan. Saya kata aneh kerana jika mereka semua duduk dalam MPN bukankah mereka semua terlibat (juga bertanggungjawab ) dalam keputusan atau cadangan badan itu?
Bukankah mereka sebahagian daripada keputusan MPN? Rujuk semula kata Muhyiddin, “cadangan MPN buka sempadan ialah persetujuan bersama”.
Saya tidak mahu menuduh ada “permainan politik” di sini. Saya faham peringkat tertinggi dalam membuat keputusan muktamad ialah Kabinet yang dikepalai Perdana Menteri. Akan tetapi kecuali Perdana Menteri, beberapa menteri dalam Kabinet juga duduk dalam MPN.
Yang ingin saya tekankan ialah selain Ismail dan Muhyiddin, ramai orang yang sama duduk dalam Kabinet dan MPN, sekali gus mereka bercakap mengenai perkara yang sama dibincangkan oleh MPN dan Kabinet.
Ini bukan sekadar pertindihan kerana pertindihan selalunya membabitkan berlainan badan atau jawatankuasa yang membuat kerja yang sama.
Apa yang kita lihat ini sesuatu yang melucukan tetapi tidak lucu, kelakar yang bukan kelakar kerana ia membabitkan majoriti orang yang sama duduk dalam sekurang-kurang dua jawatankuasa berlainan untuk membuat satu keputusan berhubung isu yang sama.
Ini pembaziran waktu, tenaga, dan kewangan yang semuanya memberi kesan terhadap rakyat dan negara.
Teringat masa saya kecil dulu. Kami budak budak Kampung Baru kerap menggunakan istilah “tembe”. Atau mungkin ejaannya “tembeh”? Entahlah saya tak tahu. Perkataan ini tidak ada dalam kamus. Tidak tahu mana asal usulnya, bagaimana ia tercipta, dan siapa penciptanya.
Cuma yang kami tahu kami akan guna apabila orang (tidak kira budak atau dewasa) yang berbuat sesuatu (menjalankan tugas) dengan lembab, terkial kial, terhegeh-hegeh tetapi menunjuk-nunjuk mereka bekerja. Kepada golongan itu kami akan berteriak “kau tembe lah”.
Istilah ini saya kira sesuai digunakan dengan apa yang ditonton sekarang berhubung isu buka sempadan negara. “Punya lah tembe kerajaan ni”. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.