`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 10, 2022

Ayu dalam Bujang Lapok

 

Ayu budak perempuan comel antara watak yang beri kesan ke atas filem Bujang Lapok arahan P Ramlee pada 1957. Walaupun ia bukan watak utama.

Babak Ayu memaparkan si budak cilik itu meminta “dua puloh sen” daripada Sudin dan Zaiton untuk mengunci mulut mengenai percintaan pasangan itu supaya tidak diketahui ibu Zaiton.

“Takde duit rahsia bukak aah”. Ayu kerap mengancam pasangan yang bercinta itu. Sebaik sahaja dapat dua puloh sen berkatalah dia “rahsia tutup aah”.

Apabila ibunya bertanya mengenai kakaknya Zaiton, Ayu akan juga minta duit. Tak dapat duit Ayu tidak bocorkan apa yang dia tahu. Beri dia duit semuanya terburai.

Meskipun apa yang Ayu lakukan dalam Bujang Lapok dianggap “comel”, dia sebenarnya mahukan sesuatu untuk tutup mulut. Yang tersirat ialah amalan sogok. Begitu lah P Ramlee, pintar menyampaikan mesej menerusi filemnya.

Apabila saya baca laporan FMT 8 Februari lalu mengenai kenyataan Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan Bersatu, saya teringat si Ayu.

Wan Saiful dilapor memberi amaran akan mendedahkan kepincangan Umno dan BN susulan serangan parti itu terhadap pimpinan Perikatan Nasional yang dikemudi Bersatu.

Beliau dipetik berkata PN juga boleh mendedahkan pelbagai kepincangan yang dilakukan pemimpin Umno semasa memerintah negara dahulu atau yang cuba dilakukan pemimpin parti itu ketika ini.

Maknanya “hentikan serangan ke atas pemimpin PN khususnya Muhyiddin Yassin. Jika tidak, kepincangan kamu akan didedahkan”. Jika serangan dihentikan bagaimana? Kepincangan tidak akan didedahkan, begitu? Kerana Wan Saiful juga berkata kesabaran PN ada hadnya lantas mengingatkan “kawan-kawan” Umno agar tidak “menguji yang bukan-bukan”.

Apa pun hakikatnya ialah ‘kepincangan’ Umno-BN ialah sesuatu yang tidak bagus yang sebagusnya didedahkan kepada umum, malah wajib didedahkan. Sebab kepincangan tentulah amat buruk untuk negara.

Meneliti apa yang beliau katakan, ‘kepincangan’ yang dimaksudkan rasanya sudah ada dalam pengetahuan Wan Saiful agak lama. Bak kata beliau sendiri “semasa Umno memerintah negara”.

Beliau tidak menjelaskan sama ada waktu Umno memerintah negara sendiri menerusi BN atau bersama PN. Tak apa lah. Tidak kira bila tetapi daripada kenyataan beliau agak lama juga lah Wan Saiful tahu rahsia Umno-BN.

Malangnya beliau memilih untuk menyimpan rahsia itu sehingga kini apabila Umno menyerang Muhyiddin bertalu-lalu. Begitulah persepsinya berdasar apa yang sendiri umumkan.

Jika tidak ada serangan Umno adakah kepincangan itu akan terus dirahsiakan? Tidakkah kepincangan itu semua tidak elok untuk negara dan wajib didedahkan?

Kita tinggalkan Wan Saiful dengan persoalan itu dan bercakap pula mengenai Muhyiddin, bos Wan Saiful.

Muhyiddin juga ada ‘mendedahkan’ beliau boleh kekal sebagai Perdana Menteri jika menuruti permintaan atau desakan pihak tertentu dalam Umno supaya beliau campur tangan urusan mahkamah. Dalam lain pengertian mempengaruhi keputusan mahkamah.

Pendedahan yang bagus dan berani. Cuma ia dibuat setelah beliau terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri berikutan penarikan sokongan Ahli Parlimen Umno. Jika Umno terus menyokongnya dan beliau kekal Perdana Menteri adakah ‘pendedahan’ itu tetap dibuat?

Malangnya ketika desakan ke atasnya supaya mencampuri hal mahkamah dibuat, Muhyiddin memilih untuk menyepi. Setelah membuat pendedahan pun beliau tidak menamakan siapa yang mendesak beliau, sehingga ke hari ini. Padahal mendesak seorang Perdana Menteri mencampuri urusan mahkamah adalah “dosa” besar yang mesti disiasat dan tangani jika desakan itu benar-benar berlaku.

Teringat lagi saya akan si Ayu.

Pemimpin Umno terutama Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi juga kerap mendedahkan kelemahan serta kesalahan Muhyiddin. Tetapi mereka juga bercakap mengenai itu semua hanya setelah berkelahi.

Najib umpamanya mendakwa Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir merancang menggulingnya sejak 2014 lagi, tetapi Najib berdiam diri. Bahkan tidak “punya masalah” Muhyiddin meneruskan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara daripada Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Umno sekarang kerap juga bercakap akan keburukan kerajaan Muhyiddin dan mendakwa Umno tidak pernah setuju duduk dalam kerajaan pintu belakang. Tetapi realitinya Umno berpakat dengan Muhyiddin dan PAS untuk rampas kuasa daripada Pakatan Harapan menerusi Langkah Sheraton pada 2020.

Waktu itu kerajaan pintu belakang buat Umno OK sahaja tetapi sekarang tidak.

Kesimpulannya masa bercinta kebusukan sudah ada. Semua tahu akan apa yang busuk. Semua nampak cuma ketika itu yang busuk dipendamkan meskipun menyusuk hidung. Yang busuk diisytihar busuk hanya selepas percintaan sudah masam.

Cukup buat kali ini. Saya nak tonton si Ayu. Bujang Lapok ada kat YouTube. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.