PETALING JAYA: Polis memanggil 18 individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan yang maut akibat lehernya dipercayai sangkut pada buaian dalam kejadian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, Seremban, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof berkata, mereka yang diambil keterangan termasuk pengasuh dan ibu bapa bayi atau kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan berkenaan.
Katanya, polis turut mendapat keputusan hasil bedah siasat ke atas mangsa yang berusia 15 bulan itu.
“Berdasarkan bedah siasat dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pagi semalam, punca kematian adalah disebabkan tekanan di leher,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi sejak akhir 2019.
“Pusat asuhan itu dimiliki dan dijalankan oleh dua wanita berusia 29 serta 37 tahun,” katanya.
Media semalam melaporkan kejadian itu berlaku ketika mangsa ditidurkan di dalam bilik oleh pengasuh kira-kira 3 petang. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.