`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 23, 2022

Gelaran ‘Premier’ bukan untuk dapat lebih kuasa, kata menteri muda Sarawak

 

Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, penukaran gelaran ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ bagi menunjukkan status Sarawak sebagai rakan sekutu sama rata dalam penubuhan Malaysia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Penukaran gelaran “Ketua Menteri” kepada “Premier” bukan untuk mendapatkan lebih kuasa, sebaliknya bagi menunjukkan status Sarawak sebagai rakan sekutu sama rata dalam penubuhan Malaysia, kata seorang menteri muda negeri itu.

Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) berkata, penukaran gelaran itu tidak menyalahi undang-undang kerana ia dibenarkan Perlembagaan Persekutuan, selaras pindaan Perkara 160 Perlembagaan pada 2021.

“Kita merupakan satu wilayah yang menubuhkan negara Malaysia, untuk menggambarkan itu, kita terpaksa mengubah nama Ketua Menteri Sarawak kepada Premier, itu sahaja dan tidak berniat lain untuk membuat lebih-lebih.

“Cuma menukar berdasarkan status kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan oleh itu, Perlembagaan kita perlu diubah untuk menunjukkan kita adalah sebuah wilayah yang bersatu bersama menubuhkan negara Malaysia,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Hasidah berkata, taraf Sarawak tidak sama seperti Kelantan, Terengganu, Melaka atau Pulau Pinang.

“Kita sama status dengan Malaya (Semenanjung), ini yang kita cuba sampaikan.”

Katanya, terdapat banyak salah faham dan sangkaan buruk di media sosial.

“Komen di Facebook yang mengatakan kita mahu kuasa lebih, tidak benar sama sekali kerana kita cuma mahu menunjukkan status sebagai rakan sekutu yang dibolehkan dalam Perlembagaan dan tidak menyalahi undang-undang serta Perlembagaan.

“Kedudukan Perdana Menteri adalah paling tinggi dalam hierarki kepimpinan negara, diikuti Premier dan seterusnya Ketua Menteri untuk negeri-negeri.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.