`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 10, 2022

Pahang kenal pasti lokasi petempatan baharu mangsa banjir, kata Wan Rosdy

 

Kerajaan Pahang perlu mengadakan libat urus dengan mangsa banjir dan tidak mahu mereka dipindahkan secara paksaan, menurut Wan Rosdy Wan Ismail. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Pahang mengenal pasti beberapa lokasi di Kuantan, Lipis, Raub dan Pekan bagi pembinaan petempatan baharu mangsa banjir, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun beliau berkata, usaha jangka panjang itu memerlukan perancangan menyeluruh selain perbincangan terperinci dengan penduduk terlibat sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Kerajaan negeri dah kenal pasti kawasan tetapi kita perlu jumpa dan adakan libat urus dengan mangsa banjir. Kita tak mahu mereka ini dipindahkan secara paksaan kerana akan timbul masalah lain.

“Kita harus fikirkan juga mungkin mereka ada sebab tertentu untuk tidak mahu pindah, perkara ini tidak boleh dibuat dengan mudah. Kita juga sedang bincang dengan Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran supaya keputusan yang tepat dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan petempatan mangsa banjir di Pahang pada sidang media selepas menerima borang keahlian Umno daripada ahli Bersatu Bahagian Maran di sini, semalam.

Selain itu, ketika ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan negeri meminta penduduk memulangkan geran tanah jika dipindahkan ke lokasi baharu, Wan Rosdy menyifatkannya sebagai “khabar angin”.

“Setakat ini, kita belum muktamadkan lagi, malah dalam perbincangan saya semalam, tidak timbul perkara ini. Mangsa banjir yang terjejas dan kemungkinan dipindahkan, kita akan pastikan dibuat secara teratur,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, beberapa cadangan jangka pendek sedang diperhalusi dalam menambah baik pengurusan bencana di negeri itu.

“Ketika perjumpaan bersama dengan Pegawai Daerah dan jurutera di Cameron Highlands, mereka bangkitkan supaya diadakan sistem penggera bagi mengenal pasti pergerakan tanah selain memberi kursus kepada komuniti kampung mengenai cara menyelamatkan mangsa banjir.

“Oleh itu, peralatan seperti bot dan sebagainya diperlukan. Ini antara pendekatan jangka pendek yang perlu diberi keutamaan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.