`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 24, 2022

Permohonan pelaburan asing 1MDB tertakluk kepada syarat ditetapkan, kata Bank Negara

 

BNM turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami kepada bekas gabenor.

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan semua permohonan pelaburan asing yang dihantar 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tertakluk pada syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

BNM berkata, semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk pada akta yang dikuatkuasakan sebelum 2013 itu, yang kemudian diganti oleh Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan syarat-syarat serta kriteria yang mengawal pelaburan tersebut adalah telus serta diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

“Kesemua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM,” menurutnya dalam kenyataan.

Kenyataan BNM tersebut adalah merujuk testimoni saksi dalam perbicaraan yang sedang berlangsung di New York, Amerika Syarikat berhubung kelulusan yang diberikan oleh BNM kepada 1MDB untuk melabur di luar negara pada 2009.

BNM turut mengulas laporan terdahulu mengenai maklumat yang diterima daripada unit perisikan kewangan (FIU) asing yang berkaitan dengan akaun milik suami kepada bekas gabenor.

Dalam hal terbabit, maklumat telah diberikan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan pada April 2016 selaras dengan tanggungjawab BNM di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, jelasnya.

Semalam, FMT melaporkan bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu mahkamah di Amerika Syarikat bahawa BNM membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak USD1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu disogok agar ia terlaksana.

Pemindahan itu berjaya dilakukan dalam tempoh semalaman, katanya. Zeti Akhtar Aziz merupakan gabenor BNM ketika itu dan suaminya adalah Tawfiq Ayman.

Leissner, saksi penting dalam perbicaraan seorang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Roger Ng, menyifatkan penghantaran USD1 bilion dalam tempoh semalaman itu sebagai “tidak pernah berlaku dahulu”.

Difahamkan USD1 bilion itu termasuk USD700 juta untuk anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho.

Dokumen mahkamah yang dilihat FMT menyebut Leissner pada Selasa memberitahu juri mahkamah persekutuan bahawa Ng memberitahunya apa yang dia dengar tentang kelulusan segera daripada BNM itu sebaik sahaja mereka dapat tahu 1MDB membuat pemindahan itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.