(Malaysiakini) – Ahli Majlis Tertinggi Umno Razlan Rafii berkata Wan Saiful Wan Jan tidak perlu menjadi “bacul” dengan mengugut untuk mendedahkan kepincangan Umno dan BN.
Razlan malah mencabar ketua penerangan Bersatu itu untuk terus membongkarkan perkara tersebut.
“Sudahlah Wan Saiful, sekira asasnya berpaksikan kepada rakyat, bongkar sahaja, jangan jadi bacul. Ikut resam untuk membela rakyat, bukan membela tembolok kroni yang akhirnya rakyat akan mati kelaparan,” katanya kepada Malaysiakini.
Razlan berkata demikian ketika mengulas amaran Wan Saiful untuk mendedahkan kepincangan dalam Umno dan BN semasa mentadbir negara dahulu dan tindakan pemimpin parti itu pada masa ini.
Memetik laporan Free Malaysia Today, dia semalam berkata, kesabaran Perikatan Nasional (PN) ada hadnya dan turut mengingatkan “kawan-kawan” Umno agar tidak “menguji yang bukan-bukan”.
Wan Saiful juga berkata strategi Umno ialah untuk membunuh karakter Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dengan pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaannya mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri.
Mengulas lanjut kenyataan, Razlan mengingatkan kepimpinan PN Umno BN bersuara semasa pentadbiran Muhyiddin demi rakyat.
“Semasa Muhiyddin menjadi perdana menteri, apa yang saya dan pemimpin Umno bangkitkan ketika itu tidak lain tidak bukan semata-mata demi kepentingan rakyat.
“Isu yang dibangkitkan adalah menjadi bualan rakyat di media sosial dan kedai kopi. Isu-isu ini tidak akan menjadi besar sekira tiada asas,” katanya lagi.
Dia mendakwa antara masalah ketika pentadbiran Muhyiddin adalah ekonomi yang teruk, pengurusan wabak Covid-19 yang lemah, kawalan pergerakan “separuh masak” dan pelaksanaan darurat tanpa asas.
“Ianya jelas untuk menjaga kedudukan perdana menteri yang gagal.
“Saya tidak nampak Wan Saiful ada modal lain selain mahu bermain emosi rakyat,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.