Mahiaddin Yasin mempamerkan keberanian luar biasa dalam tingkah politiknya mutakhir ini. Mungkin berkat pengalamannya berkuasa penuh sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan membuatnya berkeyakinan tinggi.
Kini Mahiaddin tidak mahu lagi mengamalkan politik pingitan dan bersikap malu serta tersipu dalam pencak politiknya. Sebab itu pada 17 Feb lalu beliau membuat satu pendedahan besar yang menyentuh wibawa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Muhyiddin, selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri dua tahun lalu, Zahid ada menemuinya dengan membawa “timbunan fail” kes mahkamah dan meminta beliau campurtangan.
Kata Mahiaddin, beliau enggan membantu kerana tidak mahu mengganggu urusan mahkamah. Pendedahan Mahiaddin ini mengundang reaksi segera daripada Zahid.
Beliau mengumumkan akan melafazkan sumpah laknat bahawa apa yang disebut Mahiaddin itu tidak benar.
Yang pasti Zahid mahu mohon pada Allah supaya Mahiaddin dilampiaskan dengan kemurkaanNya jika niat Mahiaddin itu memang mahu meremehkan integriti dirinya.
Seraya itu, Zahid mencabar Mahiaddin supaya melafazkan sumpah laknat. Namun cabaran Zahid ditolak mentah-mentah oleh Mahiaddin pada Selasa, 22 Februari lalu.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara Selasa lalu, Mahiaddin menegaskan:
“Itu hak Zahid nak sumpah ke tak nak sumpah. Bagi saya, bercakap kepada rakyat ni bercakap yang benar. Nak bercakap dengan rakyat jangan bohong.
“Dah ada bukti malam itu saya sudah tunjukkan saksinya, tapi kalau dia nak sumpah berapa kali sumpah, sumpahlah. Terserah pada dia.
“Saya tidak akan bersumpah sebab saya tak pernah berbohong. Apa yang saya sebut itu satu yang hak. Saya kata yang betul walaupun yang betul pahit untuk didengar..”
“..itu hak yang benar, bukan yang direka atau hanya sengaja main politik nak PRN Johor. Tidak sama sekali.” Syabas Mahiaddin. Beraninya dia.
Dalam Islam, isu lafaz sumpah laknat adalah sesuatu yang serius. Ia amat dekat dengan soal iman. Membulatkan tekad untuk melafaz sumpah bahawa Allah akan melaknat jika tidak bercakap benar boleh mengundang amarahNya.
Justeru itu kedua-dua pemimpin Islam harus dinasihatkan berhati-hati menjaja nama Allah dalam menegakkan benang politik masing-masing. Namun Mahiaddin menunjukkan hati keringnya dengan selamba mengisytiharkan tidak mahu melayan cabaran Zahid.
Jika Zahid yakin beliau difitnah oleh “pendedahan” Mahiaddin itu maka memang wajar beliau melafazkan sumpahnya dahulu. Itu pilihan terbaik memohon Allah membantu bersihkan namanya.
Sebaliknya, Mahiaddin yakin beliau bercakap benar. Tidak wajib baginya untuk serahkan perkara ini pada Allah.
Mahu ke mana politik orang Melayu-Islam kini? Secara terbuka mereka mahu Allah untuk menunjukkan kuasaNya dan sekaligus “menghukum” saingan politik mereka! Na’uzubillah!
Namun, masyarakat Islam tidak seharusnya berdiam diri. Meskipun kedua-dua mereka bertaraf pemimpin, mereka harus ditegur kerana tidak wajar nama dan kedudukan Allah dijadikan modal berpolitik.
Isu ini membabitkan soal maruah bagi kedua-dua pemimpin. Adalah janggal bila pertikaian ini dibiarkan menular dan seolah-olah mahu Allah menunjukkan kuasanya persis permintaan Nabi Musa a.s. mohon mahu Allah menunjukkan zatNya kepada baginda!
Sebebum senario kepemimpinan Melayu-Islam menjadi lebih bercelaru lagi kerana ia membabitkan soal akidah, eloklah mereka dinasihati supaya menjauhi politik kurang sihat ini,
Adalah dibimbangi ia boleh memberi gambaran buruk kepada masyarakat luar Islam akan kebijaksanaan politik “memaksa” Allah menyatakan pendirian politikNya.
Usah ulangi perbalahan hampir sama di antara pemimpin-pemimpin PAS dan Parti Amanah Negara berhubung isu keluar dan melompat parti.
Allahyarham Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat mengaturkan jika ada wakil rakyat PAS lompat parti setelah menang pilihanraya atas tiket PAS, akan tertalaklah isteri masing-masing dengan sendirinya.
Solusi isu berkenaan masih tidak jelas kerana walaupun ramai wakil rakyat meninggalkan PAS, tiada kedengaran ada ADUN atau Ahli Parlimen mentalak isteri mereka.
Yang jelasnya ialah ketika bersetuju menjadi calon PAS dengan syarat ketat sedemikian, ada pemimpin PAS yang tidak jujur; maksudnya tidak mahu bercakap benar. Sumpah hanya jadi mainan politik.
Bahaya tidak bercakap benar ini sudah dita’kuli oleh pemikir-pemikir Melayu bila mereka mendendangkan gurindam “siakap senohong gelama ikan duri; Bercakap bohong lama-lama mencuri”.
Perhatikan betapa generasi kemudian mempersendakan kehalusan pemikiran dan akal budi pendita lama Melayu-Islam apabila mereka merobah gurindam itu menjadi “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama menjadi Menteri”!
Wahai! Hodohnya wajah politik Melayu.
Dalam isu fail bertimbun ini mesti ada pihak – Mahiaddin atau Zahid – yang tidak bercakap benar sepenuhnya. Kebarangkalian kedua-duanya menggalas dosa tidak berlaku jujur sepenuhnya sentiasa ada.
Jika demikian, tidak wajarkah Allah menarik balik rahmatNya daripada umat Melayu-Islam? Yang dapat dilihat rahmat Melayu terbesar ialah berkuasa memerintah di bumi sendiri!
Zahid yakin dan berani mengatakan Mahiaddin tidak berkata benar mengenai isu fail bertimbun.
Bagaimanapun Mahiaddin menganggap tantangan Zahid pula tidak perlu dilayan kerana yakin Zahid tidak bercakap benar juga. Sebelum terlewat, perlu isu sumpah laknat ini direda dan diselesaikan segera.
Orang paling layak menasihati keduanya ialah presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Beliau pernah melaungkan mahu jadi pendamai di antara Umno dan Bersatu. Inilah masanya kepemimpinan beliau diperlukan.
Hadi mesti membawa mesej sayangi Melayu, sayangi Islam. Dan, paling penting sayangi Allah. Jangan cemari kebijaksanaanNya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.