PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 8,500kg minyak masak peket bersubsidi yang disembunyikan dalam stor penyembelihan ayam proses di Kampung Tendong, Pasir Mas, hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Afendi Juri berkata, tiga lelaki berusia 20-an hingga 30-an turut ditahan dalam serbuan pada 9.20 pagi tadi.
“Pemeriksaan lanjut menemui 8,500kg minyak masak peket 1kg bernilai RM21,250. Turut dirampas dua lori dan keseluruhan nilai disita berjumlah RM91,250.
“Stor berkenaan dijadikan pusat transit sementara sebelum dibawa ke sempadan negara dengan tujuan penyeludupan. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang tidak mematuhi undang-undang.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya memandang serius isu barang kawalan bagi mengelakkan penyelewengan sehingga mengakibatkan gangguan bekalan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.