`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, February 7, 2022

Umpan royalti minyak sudah tak relevan, PAS beritahu Zaid

 

Pemimpin PAS Kelantan berkata rakyat negeri itu sudah bijak menilai parti mana yang mampu mentadbir dan bukan hanya melihat kepada isu royalti minyak semata-mata dalam memilih pemimpin. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: PAS Kelantan menyifatkan politik mengumpan dengan menjadikan modal isu royalti minyak bagi menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan parti itu, sudah tidak relevan lagi.

Mengulas kenyataan Zaid Ibrahim baru-baru ini, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Kamal Mohamad berkata pemberian royalti itu kepada Kelantan adalah hak seluruh rakyat negeri itu tanpa mengira fahaman politik dan bukan berdasarkan parti yang memerintah.

Katanya, rakyat Kelantan sebelum ini telah lama dikhianati kerajaan Umno, Barisan Nasional (BN) dengan menyekat pemberian royalti.

“Modal politik umpan mengumpan (kenyataan Zaid) ini sudah kurang sesuai.

“Kerajaan Umno, BN telah lama mengkhianati rakyat dan negeri Kelantan dalam soal royalti. Siapa pun yang memerintah pusat, ia wajib beri royalti, soal ikhlas atau tidak, itu bukan alasan kerana ia hak rakyat dan negeri Kelantan,” katanya.

Sebelum ini, Zaid yang juga bekas Menteri dilaporkan sebagai berkata, rakyat Kelantan berpeluang menikmati royalti minyak daripada kerajaan pusat sekiranya pentadbiran PAS di Kelantan ditewaskan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau yakin sekiranya Umno kembali berkuasa di Putrajaya, royalti minyak akan dibayar kepada Kelantan dan beliau sendiri telah menyerahkan cadangan bagaimana industri minyak dan gas boleh dibangunkan di negeri itu kepada kepimpinan Umno.

Mohd Kamal berkata, rakyat negeri itu sudah bijak menilai parti mana yang mampu mentadbir dan bukan hanya melihat kepada isu royalti semata-mata dalam memilih pemimpin.

“Kalau rakyat mahukan royalti semata-mata, sudah lama mereka menukar undi. Mesti ada sesuatu yang membuatkan mereka tertarik dengan kerajaan negeri sekarang iaitu pentadbiran Islam,” katanya.

Tegasnya, PAS dan kerajaan negeri tidak pernah berhenti menuntut hak royalti sepertimana yang termaktub dalam perjuangan.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat pula menyifatkan kenyataan Zaid lebih kepada perjuangan politik peribadi berbanding soal rakyat.

“Ini menunjukkan politik kepentingan peribadi dan bukannya politik Islam yang membela ummah seperti diamalkan oleh pentadbiran PAS sekarang,” katanya yang juga Exco kerajaan negeri. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.