`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 19, 2022

Wanita hamil minta izin tunggang motosikal sendiri sebelum maut nahas

 

Keadaan motosikal yang ditunggang Nor Haliza Abdul Yazaib selepas kemalangan di Kampung Lumpur, Pasir Mas semalam.  (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Suami kepada wanita sarat mengandung yang maut dalam kemalangan sehingga bayi lelakinya terkeluar daripada rahim, mendedahkan isterinya bersungguh-sungguh meminta kebenaran menunggang motosikal sendiri sebelum nahas.

Mohd Khairi Hasbullah berkata, arwah isterinya, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, mahu menunggang motosikal sendiri ke kedai runcit berhampiran kerana tidak selesa membonceng disebabkan sarat mengandung anak keempat mereka.

“Setiap kali keluar, saya akan bawa arwah bersama tiga lagi anak berusia dua hingga lapan tahun menaiki motosikal bersama-sama.

“Cuma semalam, arwah meminta untuk menunggang secara berasingan bersama anak kami, Nurul Iman Maisara, 6. Jadi saya izinkan kerana jarak kedai runcit dengan rumah tidak jauh, iaitu hanya 3km,” katanya menurut laporan Kosmo dan Harian Metro.

Khairi berkata, ketika kejadian, beliau terkejut melihat sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dalam keadaan laju memasuki laluan mereka.

Katanya, beliau sempat mengelak, tetapi isterinya gagal berbuat demikian sebelum motosikal itu bertembung dengan Nor Haliza.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Nor Haliza meninggal dunia di tempat kejadian di Kampung Lumpur, manakala bayi lelakinya meninggal dunia di Hospital Pasir Mas pada 12.30 malam tadi, selepas lima jam bertarung nyawa.

Kedua-dua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol, Pasir Mas pada 10.30 pagi tadi.

Anak kedua mereka, Nurul Iman yang membonceng bersama Nor Haliza masih dalam rawatan kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.