Trend penurunan kes jangkitan harian COVID-19 dalam negara berkemungkinan dipengaruhi sikap orang ramai yang tidak melaporkan jangkitan pada aplikasi MySejahtera.
(Berita Harian) – Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berpandangan, orang ramai mungkin enggan melaporkan jangkitan COVID-19 kerana teruja meraikan Aidilfitri.
Beliau pada masa sama, tidak menolak kemungkinan orang ramai cuba mengelak dikuarantin, yang antara lain akan membataskan pergerakan mereka ketika beraya di kampung, sekiranya melaporkan sebarang jangkitan COVID-19 pada aplikasi MySejahtera.
“Kita memang jangka akan berlaku peningkatan kes dalam keadaan kebanyakan orang ramai sudah tidak lagi memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal, terutamanya ketika negara sedang meraikan Aidilfitri.
“Namun, kita juga tidak tolak kemungkinan orang ramai enggan melaporkan jangkitan di MySejahtera bagi mengelak status profil berubah atau memudahkan mereka ketika berdepan semakan rambang dilakukan pihak berkuasa.
“Malah, ada yang mungkin beranggapan enggan membataskan pergerakan mereka sepanjang Aidilfitri jika terpaksa dikuarantin susulan dijangkiti COVID-19. Tambahan kita semua sudah lama tidak beraya dengan keluarga tercinta di kampung halaman,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas trend jangkitan harian COVID-19 dalam negara yang terus mencatatkan penurunan sejak kira-kira seminggu lalu, dengan terkini semalam 1,352 kes baharu direkodkan termasuk empat kes import.
Ia juga hari kedua berturut-turut angka jangkitan harian dicatatkan di bawah 2,000 kes.
Selain angka jangkitan harian, trend penurunan selama beberapa hari turut direkodkan dalam angka kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital, unit rawatan rapi serta yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Bashirun turut menasihatkan individu dijangkiti COVID-19 tetapi enggan melaporkannya di aplikasi MySejahtera, supaya sekurang-kurangnya kekal di rumah masing-masing dan tidak bergaul dengan masyarakat, terutamanya sepanjang Aidilfitri.
Beliau meminta individu disahkan positif COVID-19 jujur kepada diri sendiri dan tidak mengambil kesempatan berseronok semata-mata sepanjang Aidilfitri sehingga memperjudikan nasib orang ramai di persekitaran kita.
“Kita perlu ada rasa tanggungjawab sosial bagi memastikan keselamatan sosial sentiasa terjamin. Semua orang juga disarankan supaya membuat saringan kendiri bagi memastikan tahap kesihatan kendiri dan jangan terlalu terleka dengan kemeriahan sambutan Aidilfitri.
“Masyarakat perlu sentiasa berwaspada kerana individu tidak bergejala tak semestinya mereka tidak dijangkiti COVID-19. Jadi, sentiasa amalkan nasihat kesihatan awam bagi memastikan diri dan keluarga terhindar daripada jangkitan, terutamanya golongan berisiko tinggi.
“Kanak-kanak dan orang ramai juga kalau boleh lakukanlah ujian kendiri sebelum masuk ke sekolah atau pejabat masing-masing bagi memastikan persekitaran kita sentiasa selamat untuk semua. Jangan pentingkan diri sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.