`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 31, 2022

Da’i Syed bebas kes cabul penuntut kolej swasta

 

Da’i Syed bersama peguam Syed Amirul Syed Edros selepas dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta.

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen hari ini, melepaskan dan membebaskan (DNA) pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas dua pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan perkara itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros untuk melepas dan membebaskan anak guamnya daripada dua pertuduhan itu.

“Saya bersetuju dengan hujahan peguam bela. Saya melepas dan membebaskan tertuduh mengikut Seksyen 254(3) bagi kedua-dua kes dan wang jaminan (RM25,000) dikembalikan,” katanya.

Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal, atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang wanita yang ketika itu berusia 22 tahun di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana antara 3 hingga 4 pagi pada 17 Okt 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada tarikh sama di Mahkamah Majistret, dia turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama, dengan maksud mencabul kehormatannya pada tarikh dan lokasi sama.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon kes yang dipertuduhkan ke atas tertuduh itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) mengikut Seksyen 254 (2).

“Selepas meneliti keseluruhan kes, pihak pendakwaan memohon kes ini diperintah untuk DNAA. Ia memandangkan antara lain pengadu dalam kes ini mengalami kemurungan serius atas kejadian yang menimpanya sehingga pengadu beberapa kali mencederakan diri sendiri dan mempunyai keinginan untuk membunuh diri,” katanya.

Norhashimah berkata perintah DNAA tidak akan memprejudiskan tertuduh selagi tidak dibuktikan bersalah malah dia tidak perlu rasa terbeban kerana dilepas dengan ikat jamin oleh mahkamah sebelum ini.

Sementara itu peguam Syed Amirul ketika berhujah berkata, alasan bahawa pengadu mengalami kemurungan dan berada dalam keadaan tidak baik untuk memberi keterangan merupakan suatu alasan yang goyah.

Menurutnya, wajar untuk berasa simpati kepada mangsa, namun mahkamah telah menetapkan sebanyak 13 kali tarikh termasuk sebutan kes namun pengadu sendiri telah menarik balik laporan pada Disember tahun lalu.

“Ini menunjukkan pengadu tidak berminat untuk meneruskan kes ini. Laporan polis yang menjadi asas, telah ditarik balik oleh pengadu dalam keadaan sukarela, tanpa paksaan atau wujudnya elemen habuan,” katanya.

Menurut peguam itu lagi sekiranya perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) diberikan, peguam itu berkata, ia membawa maksud tertuduh masih boleh dituduh bila-bila masa dan perkara itu akan menghantui anak guamnya sebagai pesalah seks.

Sementara itu, Da’i Syed ketika ditemui media menzahirkan rasa syukur selepas keputusan mahkamah memihak kepadanya.

“Alhamdulillah, saya dibebas dan dilepaskan untuk pertuduhan terbabit. Kes ini pun ada menjejaskan karier saya. Apa-apapun saya bersyukur kes ini sudah selesai,” katanya.

Pada 17 Mei lalu, TPR, P Vitiya Monisha memaklumkan kepada Jamaludin bahawa pengadu dalam kes itu menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap tertuduh. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.