PETALING JAYA: Tawaran gaji lebih lumayan setaraf doktor pakar membuatkan semakin ramai jururawat khususnya di Johor memilih bekerja di Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, jika situasi itu terus berlaku maka Johor berdepan kekurangan antara 15,000 hingga 18,000 jururawat.
Katanya, kemasukan jururawat dari Johor dilihat semakin meningkat setiap tahun meskipun tiada statistik khusus jumlah golongan itu yang bekerja di republik tersebut.
“Kita juga menjangkakan lebih ramai akan bekerja di Singapura kerana nilai ringgit yang semakin susut ketika ini. Walaupun begitu saya percaya ramai jururawat yang masih mahu berkhidmat di negara ini.
“Difahamkan antara sebab jururawat kita bekerja di Singapura kerana menerima gaji menerima seperti gaji seorang doktor pakar di Malaysia berdasarkan nilai matawang negara itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, walaupun jumlah perjawatan bagi jururawat di negeri ini sudah 98% diisi tetapi masih tidak mencukupi memandangkan program kesihatan dan perkhidmatan semakin bertambah selain pembukaan hospital baharu.
Sehubungan beliau berkata, satu perbincangan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan diadakan dalam satu pertemuan dijangka dalam waktu terdekat bagi penyelesaian masalah terbabit.
“Pertemuan dengan Khairy nanti akan membincangkan kaedah serta tawaran terbaik bagi mengatasi masalah itu.
“Tahap keperluan jururawat di negeri ini masih belum kritikal tetapi ketidakcukupan itu perlu diisi supaya perkhidmatan kesihatan tidak terjejas, seterusnya khidmat diberikan dengan terbaik dan berkesan,” katanya.
Ketika ini, terdapat 12,533 jururawat di Johor membabitkan 8,777 jururawat yang berkhidmat di hospital kerajaan, 19 lagi berstatus jururawat kontrak dan 3,737 adalah jururawat di hospital swasta. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.