`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 18, 2022

Ibu bapa sokong murid dapat ke sekolah seperti biasa

 

Bulan lepas, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, semua murid sekolah rendah akan hadir ke sekolah tanpa giliran mulai 17 April dan 18 April.

PETALING JAYA: Ibu bapa menyuarakan kegembiraan mereka atas kembalinya sesi persekolahan secara konvensional untuk murid sekolah rendah.

Ibu-ibu yang ditemu bual oleh FMT berkata, mereka gembira kerana anak-anak mereka kini bebas berinteraksi dengan rakan sebaya di dalam dan di luar bilik darjah.

Farah Bashir, yang mempunyai anak-anak dalam Tahun Satu dan Tahun Tiga, berkata beliau tidak lagi bimbang untuk menghantar mereka ke sekolah kerana mereka telah menerima vaksin Covid-19.

“Saya gembira dengar cerita mereka tentang masa di sekolah,” katanya.

“Saya kini sedar betapa menghadiri kelas dalam talian mengakibatkan mereka terlepas bergembira dengan rakan-rakan.”

Farah Bashir.

Farah berkata, anak-anaknya gembira kerana beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah dimansuhkan, membolehkan mereka rehat di kantin sekolah dan berjumpa serta menjamu selera dengan rakan-rakan daripada kelas lain.

Katanya, mereka juga menikmati kelas pendidikan jasmani di padang sekolah.

Dania Ridzwan berkata, anak perempuannya yang berusia 10 tahun gembira dapat kembali ke sekolah bersama rakan-rakannya dan teruja mengikuti aktiviti kokurikulum dan pendidikan jasmani.

“Saya tidak terlalu bimbang tentang Covid-19 lagi,” katanya.

Dania Ridzwan.

“Saya rasa ia sama seperti selesema melainkan anda menghidap komorbiditi.”

Premila Devi Ramasamy berkata, anak-anak lelakinya, berusia enam dan lapan tahun, bersemangat untuk kembali ke tadika dan sekolah rendah.

“Mereka tidak sabar-sabar untuk bertemu rakan-rakan secara bersemuka selepas belajar dalam talian berterusan sepanjang wabak,” katanya.

Beliau gembira menghantar mereka ke sekolah untuk melihat mereka “berkembang dalam pelajaran, kemahiran sosial, kemahiran komunikasi dan hampir setiap aspek pembelajaran”, katanya.

Bulan lepas, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, semua murid sekolah rendah akan hadir ke sekolah tanpa giliran mulai 17 April dan 18 April.

Beliau menasihatkan murid dan guru supaya mematuhi SOP walaupun negara sedang berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Tinjauan terbaru yang dijalankan oleh Project ID mendapati 45% responden menyokong murid-murid kembali ke sekolah. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.