`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, May 10, 2022

Kementerian Pengangkutan, Mavcom digesa lebih proaktif selesai isu kelewatan AirAsia

 

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, isu kelewatan penerbangan AirAsia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlarutan sejak hujung bulan lepas.

PETALING JAYA: Alexander Nanta Linggi menggesa Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) agar lebih proaktif berhubung isu kelewatan dan penjadualan semula penerbangan domestik melibatkan syarikat penerbangan AirAsia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, pihak Kementerian Pengangkutan dan Mavcom perlu tampil mencari penyelesaian terbaik.

“Meskipun perihal mengenai industri penerbangan banyak tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, tetapi sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, saya akan campur tangan sekiranya hak pengguna terkait sama.

“Saya juga dimaklumkan bahawa AirAsia akan memberikan maklum balas lengkap terhadap isu yang diketengahkan pengguna menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh 24 jam ini,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Alexander Nanta Linggi.

Semalam, Nanta berkata, KPDNHEP akan menjalankan siasatan dari sisi kepentingan pengguna dalam hal terbabit.

Mengambil maklum rungutan, aduan dan keluhan pengguna, Nanta berkata, isu kelewatan penerbangan AirAsia ke pelbagai destinasi dalam negara dikesan berlarutan sejak hujung bulan lepas.

Dalam pada itu, Nanta berkata, pihaknya serius dalam menjalankan siasatan.

“Tiada ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin, ‘siasat dan siasat’ atau sekadar berpeluk tubuh dalam isu ini. Kepentingan pengguna adalah amanah saya sebagai menteri KPDNHEP.

“Pihak saya membuat penelitian awal (dari segi kepentingan pengguna mengikut bidang kuasa KPDNHEP) dan terus menghubungi pengurusan AirAsia bagi mendapatkan maklum balas lanjut,” katanya.

Nanta semalam memaklumkan pengguna perkhidmatan penerbangan berhak menuntut pampasan bagi meneruskan perjalanan namun tertakluk kepada beberapa faktor dan punca penundaan atau pembatalan, berdasarkan maklumat daripada laman Mavcom.

Pampasan itu merangkumi makanan, bil panggilan telefon dan akses internet bagi penangguhan selama dua jam atau lebih, penginapan hotel dan pengangkutan untuk penangguhan selama lima jam atau lebih, dan pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif jika penerbangan dibatalkan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.