`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, May 25, 2022

Mana janji warta semula HSKLU sebelum Aidilfitri, soal penyokong Anwar, NGO

 

Kerajaan negeri digesa jelaskan status pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang sebelum ini dijanjikan untuk dilaksanakan sebelum Aidilfitri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan penyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim menuntut kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) menjelaskan status pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini dijanjikan sebelum Aidilfitri.

Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, sehingga kini masih belum ada bukti hitam putih dan dokumen rasmi didedahkan kepada umum berhubung perkara itu.

“Sudah hampir lapan bulan sejak kerajaan Selangor membatalkan cadangan untuk membangunkan Hutan Simpan tersebut pada 8 Sept 2021. Otai Reformis beranggapan bahawa MB telah membuat janji kosong yang tidak ditepati,” katanya kepada FMT.

Kumpulan itu yang sebelum ini bersama NGO alam sekitar menentang pembangunan di kawasan itu turut menolak cadangan kerajaan Selangor untuk menggunakan 8.5 hektar kawasan HSKLU bagi kerja jajaran batang paip Air Selangor.

“Otai juga menggesa kerajaan negeri melencongkan jajaran tersebut tanpa perlu memasuki kawasan hutan simpan,” kata Abdul Razak.

Menurutnya, pihaknya juga kecewa dengan tindakan kerajaan negeri pada 6 April lalu menolak mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) untuk pendengaran awam berkaitan penyahwartaan HSKLU.

“Menteri besar janji nak adakan pendengaran SELCAT tetapi itu semua retorik semata-mata,” katanya.

Pandangan sama dibangkitkan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Damien Thanam apabila sehingga hari ini belum ada pewartaan rasmi dibuat ke atas hutan tersebut.

“Sehingga kini tiada apa-apa kemas kini status daripada pejabat menteri besar, exco alam sekitar, pengarah perhutanan negeri ataupun pejabat tanah,” katanya.

Pada 25 Mac lalu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata HSKLU dijangka diwartakan semula sebelum Aidilfitri dengan 97% daripadanya sebagai hutan simpan dan baki 3% lagi untuk perkampungan Orang Asli. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.