`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 16, 2022

Ravichandran tawan Everest kali ke-3, rancang guna tanpa bantuan oksigen tahun depan

 

Misi pendakian T. Ravichandran kali ini lebih manis apabila berjaya merealisasikan impiannya bersama seorang lagi pendaki negara, N. Elanghovan, di puncak tertinggi dunia itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendaki negara T. Ravichandran sekali lagi berjaya menawan puncak Gunung Everest buat kali ke-3 pada 12 Mei lalu.

Beliau pernah melakukan misi itu pada 2006 dan 2007. Misi kali ini lebih manis apabila berjaya merealisasikan impiannya bersama seorang lagi pendaki negara, N. Elanghovan, di puncak tertinggi dunia itu.

Beliau juga berkata kini berazam lagi untuk menawan ‘bumbung dunia’ itu pada tahun depan dengan melakukannya tanpa bantuan oksigen.

Pendaki profesional berusia 57 tahun itu berkata pada tahun ini, beliau tidak dapat membawa misi tanpa bantuan oksigen kerana disebabkan diberikan tanggungjawab mengetuai ekspedisi berkumpulan.

“Saya pada mulanya sudah bersedia untuk membawa misi pendakian secara solo tanpa bantuan oksigen untuk menawan puncak gunung Everest kali ini.

“Namun, oleh kerana membawa tanggungjawab besar mengetuai ekspedisi berkumpulan iaitu seorang lagi rakan pendaki negara bersama kali ini, maka saya terpaksa mengambil serius mengenai aspek keselamatan dan menggunakan bantuan oksigen untuk ke puncak ‘bumbung dunia’,” katanya menerusi aplikasi perbualan Google Meet dari Basecamp Everest.

Ravichandran berjaya sampai ke puncak tersebut pada Khamis lalu, pukul 9.17 pagi waktu tempatan.

Katanya, kehilangan lapan jari akibat radang dingin (frostbite) pada misi pendakian keduanya dahulu nyata tidak menghalangnya untuk terus sampai ke puncak Everest kali ini.

Beliau berkata faktor cuaca dipilih untuk ke puncak pada 12 Mei lalu juga antara faktor berjaya meneruskan misi kali ini.

“Kita dah ambil langkah menuju ke puncak pada 12 Mei, iaitu hari pertama cuaca paling cantik dalam musim ini. Kita mengambil tarikh itu di mana keadaan angin agak kurang dan juga keadaan cuaca yang tidaklah terlalu ekstrem.

“Jadi sasaran kita pada 12 Mei itu adalah sesuatu yang baik dan berjaya mengurangkan risiko-risiko terutamanya melibatkan risiko radang dingin,” katanya.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.