Berita pemergian Wan Zawawi Ibrahim, bekas timbalan pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, ke alam abadi agak mengejutkan. Salah satu sumbangan Wan Zawawi yang menurut saya begitu menarik untuk diapungkan kembali ialah apabila beliau mengkaji perihal rock dan penikmatnya (yang satu masa dulu digelar ‘kutu’) dan bagaimana muzik rock telah ditindas oleh genre muzik nasyid dan kemudiannya balada Nusantara.
Ketika hujung 1980-an di saat Malaysia masih dilanda demam pelbagai “band” rock seperti Search, Wings, Bumiputra Rockers, Lefthanded, Ella and the Boys, Rusty Blade, Cromok, Amuk, dan banyak lagi; Malaysia sedang mengalami proses Islamisasi yang dahsyat di mana kumpulan nasyid mulai bersaing mendapatkan ruang.
Tatkala itu, untuk ramai penikmat muzik yang enggan ‘memuja’ rock dan mengunggulkan ‘kutu’; mereka melihat nasyid sebagai pilihan munasabah. Muzik rock bahkan ditanggap sebagai muzik liar, dipengaruhi budaya kuning, mempersembahkan keliaran, dan hanya untuk masyarakat kelas keji dan nista. Penikmat rock biasa didakwa sebagai mereka yang tidak bermoral.
Sebagai pelajar sekolah agama dalam 1980-an, mendengar lagu ikonik Fantasia Bulan Madu atau Taman Rashidah Utama sebagai contoh adalah satu ‘dosa ditanggung masyarakat’ yang akan menyebabkan ustaz atau ustazah baran meruok secara spontan.
Najib Razak, yang pernah menjadi menteri belia dan sukan (justeru mengambil tanggungjawab hal budaya dan seni), bahkan pernah menyifatkan terdapat unsur-unsur syaitan dan haiwaniah dalam muzik rock (khusus “heavy metal”). Beliau antara lain memetik kegamatan bunyi, penerokaan seks, tiada segan silu, di luar peradaban, dan resam Timur sebagai alasan kenyal beliau untuk menghujahkan rock sebagai mempunyai unsur syaitan dan binatang.
Tanggapan ini berlanjutan dan berleluasa dalam kalangan ramai orang. “Rockers” justeru “kutu” dihalang daripada muncul dalam rancangan muzik di televisyen. Rambut mereka perlu digunting. Gosip liar mengenai rocker berkesiuran. Pendek kata, orang benci rock. Untuk mereka yang ingin menghayati rock, ia dilakukan secara senyap. Ibu bapa kami ketika itu (mereka sekarang sudah tua dan masih pengundi Barisan Nasional) menerima bulat-bulat poin di atas. Gejala rock dikaitkan dengan aksi lepak, dan watak bohsia lagi bohjan.
Wan Zawawi adalah pengamat dan ahli akademik yang melihat fenomena di atas dengan jujur dan memahamkan kita apa yang berlaku ketika itu. Dalam kajian beliau yang bernas, “Disciplining Rock Music and Identity Contestations: Hybridization, Islam and New Musical Genres in Contemporary Malaysian Popular Music”, Wan Zawawi menyatakan masalah utama dengan seni (apa sahaja termasuk sastera, filem, dan dalam konteks ini muzik) terletak pada Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang sudah lapuk. Ia memaksakan Islam dan Melayu pada semua budaya termasuk budaya etnik bukan Melayu, dan merupakan punca seni kita tersengkang teruk tidak dapat bergerak berbanding seni negara jiran (katakan Thailand dan Indonesia).
Wan Zawawi mengatakan, perbalahan Umno dan PAS menjadikan keadaan semakin meruncing, yang menimpa gerakan seni budaya:
“In the context of the Malaysian real politic, it is evident that the NCP’s representation of Malay culture and Islam as a unitary base is problematic. The Umno (the Malay ruling party) version of Islam (which converges with the ‘national’) has always been contested by PAS (Pan Malaysian Islamic party), and in the political arena, the contestation consistently revolves around the struggle of claiming legitimacy as to who is the sole definer and arbiter of Islam in Malaysia.”
Wan Zawawi menjejaki di manakah asal muasal pemomokan terhadap muzik rock dan kutu. Ia kembali kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pagar dasar tersebut. Dewan Budaya, Julai 1989 yang diterbitkan oleh DBP menerbitkan satu artikel utama bertajuk ‘Budaya Kutu’ yang Menggugat tulisan Abu Hassan Adam. Pengarang ini mempertikaikan rock, memberi amaran ‘bahaya rock’ dan kemungkinan muzik tradisional ditinggalkan sama sekali.
Rock ditindas dan dimusuhi dengan begitu teruk sekali sehingga siri konsert pada 1994, the Salem Celebrations ditakut-takutkan lantaran ditaja syarikat rokok. Ella mendapat tempiasnya. Saya juga masih ingat bagaimana Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan banyak lagi NGO di pelbagai negeri membantah konsert ini yang berkemuncak dengan tunjuk perasaan di Masjid Negara pada 27 Mac 1994. Kempen bantahan ini dibantu oleh seminar anjuran PKPIM, dan Baheis (nama lama Jakim) dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Seminar itu diberi nama Serangan Budaya Hiburan “Hedonistik” menjelang Abad Ke 21.
Turut mendapat percikan ialah genre yang lebih tenang seperti lagu-lagu bawaan M Nasir dan Sheila Majid.
Penindasan terhadap genre muzik rock dilakukan dengan begitu tersusun, termasuk dengan penyemaian muzik nasyid secara amat strategik. Wan Zawawi dalam kajiannya menyorot bagaimana pada November 1992 Baheis ketika itu menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Muzik Berunsur Islam Bahagian Hal Ehwal Islam yang membawa kepada pencurahan dana besar untuk ‘memajukan muzik Islami’.
Bengkel pertama mempopularkan muzik nasyid diadakan pada 24 Okt 1994. Antara strategi yang dikemukakan adalah untuk memperkenalkan muzik nasyid era baru yang menjauhi gaya nasyid ala kumpulan Arqam iaitu Nada Murni (ingat lagu Sepohon Kayu?) dan nasyid ala PASTI milik PAS (irama Asmaul Husna, ingat?).
Satu lagi strategi ialah menundukkan penyanyi pop. Para artis yang menyanyi lagu pop ketika itu didekati oleh agensi kerajaan dan didisiplinkan agar menyanyi dengan tudung dan pakaian Islami. Ia membawa kita menyaksikan penyanyi seperti Gee atau Fauziah Latiff, Sharifah Aini, dan Ning Baizura mengenakan pakaian dalam fesyen Islami di acara kerajaan.
Klimaks keghairahan kepada nasyid akhirnya berjaya dengan bantuan Tony Fernandes yang ketika itu adalah pengarah urusan Warner Music (ya sebelum AirAsia, beliau berkecimpung dalam dunia muzik). Tony dan pasukannya, antara lain Nasser Abu Kassim mendapatkan Farihin Abdul Fattah untuk mengetengahkan kumpulan nasyid ala Arqam, The Zikr, yang dijenamakan kembali sebagai Raihan.
Album pertama Raihan meledak dan lagu Puji-pujian meletup. Dalam masa dua minggu, jualan album berkenaan mencecah 75,000 unit dan 300,000 unit dalam masa dua bulan. Ia malah mencapai angka 700,000 unit dalam masa enam bulan, sekali gus mencipta rekod sebagai album tempatan paling laris.
Kumpulan nasyid dipromosi besar-besaran sebagai kebalikan dari rock dan kutu. Penyanyi nasyid adalah ustaz, justeru berilmu dan boleh memberi ceramah dan tazkirah. Mereka juga disifatkan sebagai berdisiplin, amar makruf nahi mungkar, selain mendapat pahala kerana berdakwah dengan muzik. Ini berbeza dengan penyanyi rock yang dikatakan terumbang-ambing dan ditopengkan sebagai jahat. Pewarnaan hitam putih yang diberikan oleh pemerintah inilah yang menindas muzik rock secara sedar.
Wan Zawawi dalam kajian beliau yang sangat bermakna itu kemudian membuat konklusi bahawa pemasyhuran ‘Nasyid Era Baru’ telah menjadi senjata politik banyak mata. Pertama ia berjaya menggunakan budaya popular untuk menjauhkan generasi ketika itu dari PAS dan Arqam. Kedua, ia membawakan keuntungan dunia dan duit-duitan yang besar untuk syarikat rakaman seperti Warner, EMI, BMG, Polygram dan mengkacukkan kapitalisme hiburan dengan Islam, seperti dituntut oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Ketiga, ia juga berjaya mengamankan ibu bapa daripada kerisauan budaya kuning (yang sebenarnya digembar-gemburkan oleh kerajaan dan agamawan sendiri). Terakhir ia berjaya menindas rock dan ‘kutu’, dan mengislamkan mereka sehingga muzik rock akhirnya perlahan-lahan memudar dan mengungsi. Versi rock lebih perlahan kemudian terlihat pada Gersang dengan Man Bai sebagai contoh.
Kejayaan Jakim atau Baheis mendisiplinkan rock dan ‘kutu’ dapat dilihat hari ini di mana terdapat rocker 1980-an dan 1990-an kini menjadi penyanjung dan juara slogan serta retorika Melayu-Islam kumpulan kanan. Perubahan itu diterima masyarakat sebagai wajar kerana ia satu taubat, hijrah, dan evolusi takwa usia tua.
Sumbangan tidak ternilai Wan Zawawi Ibrahim sebagai seorang antropologis dan etno-muzikologis dalam kajian beliau ini amat bermakna untuk kita hari ini, di mana masyarakat seni masih sampai sekarang diikat oleh Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 (justeru oleh Dewan Bahasa dan Pustaka serta Baheis atau nama barunya Jakim). Terima kasih Wan Zawawi Ibrahim atas penyelidikan tidak ternilai ini. Penyelidikan beliau juga menjelaskan mengapa gerakan seni budaya kita bosan, terlalu satu arah, tidak cukup kaya dan mendengar kata. Iaitu mendengar kata pemerintah dan agamawan sebagai bapa. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.